Polis mohon bantuan orang ramai salur maklumat kemalangan maut di Sungai Lokan

KEPALA BATAS – Polis meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan maut membabitkan dua individu di Jalan Permatang Baru, Sungai Lokan di sini, supaya tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Anuar Abdul Rahman berkata dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa dipercayai pemandu dan penumpang rentung selepas kereta dinaiki terbakar.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal mangsa yang identitinya belum dikenal pasti memandu kereta jenis Proton Saga dan dipercayai dari arah Permatang Tiga menghala ke Sungai Dua.

“Apabila tiba di lokasi, kereta berkenaan disyaki hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh timbunan tanah di kiri jalan sebelum kenderaan itu terbakar.

“Kemalangan telah mengakibatkan dua mangsa dipercayai pemandu dan penumpang rentung dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kepala Batas (HKB) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sehubungan dengan itu, beliau memohon mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menghubungi BSPT IPD SPU melalui talian 04-5757946 atau hadir ke mana-mana balai polis bagi membantu siasatan. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *