KUALA LUMPUR – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah bahawa misi Global Sumud Flotilla (GSF) merupakan contoh murni sebuah usaha kemanusiaan sejagat yang bertujuan membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira sempadan bangsa, agama mahupun negara.
Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan terhadap semangat keprihatinan dan keberanian para sukarelawan termasuk rakyat Malaysia yang sanggup menggalas risiko demi menyampaikan bantuan kemanusiaan, terutamanya kepada warga emas, wanita dan kanak-kanak yang kelaparan.
“Misi GSF ini adalah manifestasi semangat persaudaraan dan solidariti kemanusiaan tanpa batas. Mereka hanya membawa bekalan makanan, namun dihalang dan ditahan.
“Tindakan ini jelas bertentangan dengan nilai-nilai kemanusiaan sejagat,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.
Sultan Ibrahim turut memaklumkan, baginda telah menerima taklimat terkini mengenai perkembangan GSF serta usaha berterusan oleh kerajaan Malaysia dalam membebaskan sukarelawan negara yang terlibat.
“Semoga setiap usaha murni yang sedang dilakukan serta digerakkan oleh kerajaan dalam membantu sukarelawan rakyat kita dipermudahkan dan dilindungi Allah Subhanahu Wa Ta’ala,” titah baginda lagi.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur.
Turut hadir dalam sesi mengadap tersebut ialah Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001