PADA 3 September lalu, prosiding inkues bagi mengenal pasti punca kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir bermula di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, Sabah.
Prosiding ini dirancang berlangsung selama dua hari pertama, sebelum disambung semula dari 8 hingga 30 September, menjadikan jumlah keseluruhan hari prosiding sebanyak 18 hari.
Hari Pertama – 3 September 2025
Prosiding dimulakan dengan penjelasan oleh bekas Peguam Kanan Persekutuan, Liyana Marzuki mengenai tujuan dan format inkues, yang bertujuan mengenal pasti punca kematian tanpa mensabitkan siapa terdakwa.
Koroner yang mengetuai prosiding ialah Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan.
Beberapa saksi, termasuk Pakar Patologi Forensik, Dr. Jessie Hiu dipanggil memberi keterangan.
Keluarga Zara Qairina hadir bersama peguam mereka dan turut dibenarkan untuk menjadi pihak berkepentingan yang boleh menyoal saksi.
Sebaliknya, permohonan peguam pihak OKT (remaja yang didakwa terlibat dalam buli) untuk turut serta dalam prosiding ditolak, selepas rayuan bersama Majlis Peguam Sabah dan bantahan AGC.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Hari Kedua – 4 September 2025
Dr. Jessie Hiu, pakar forensik senior Hospital Queen Elizabeth, meneruskan keterangannya.
Beliau menegaskan, kecederaan pada badan Zara konsisten dengan hentakan kuat akibat jatuh dari tempat tinggi, bukan hasil dianiaya atau dipukul.
Untuk memberi penjelasan lebih jelas kepada mahkamah, pasukan peguam (termasuk Datuk Ram Singh yang mewakili saksi kanak-kanak) membawa masuk patung bersaiz kanak-kanak.
Dr. Jessie menandakan enam titik pada patung tersebut iaitu di belakang kepala, tapak tangan, belakang lengan bawah, siku, buku lali kanan dan kaki kiri sebagai simulasi lokasi kecederaan pada badan Zara.
Seorang saksi menyatakan, penentuan sama ada kejadian itu adalah bunuh diri atau tidak adalah terpulang kepada Mahkamah Koroner.
Sepanjang hari turut ditekankan kecederaan yang dialami tidak selari dengan trauma akibat pukulan, sebaliknya lebih cenderung terjadi kerana jatuh tinggi, dan penjelasan ini perlu disokong oleh pendapat pakar biomekanik.
Dua hari pertama inkues ini memberi gambaran konkrit mengenai pendekatan sistem keadilan Malaysia dalam kes yang berprofil tinggi dan sensitif seperti ini.
Mahkamah Koroner berfungsi sebagai peringkat awal penting untuk menilai bukti secara telus sebelum meneruskan ke prosiding selanjutnya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
