Oleh: Mohd. Shah Abdullah
BERDASARKAN kajian, kosa kata bahasa Inggeris dianggarkan 600,000 dalam daftar entri seperti dinyatakan dalam Oxford English Dictionary. Ini termasuk istilah yang dipinjamkan dari bahasa kuno Latin, Perancis, Yunani, Greek, Jermanik dan sebagainya.
Bahasa Melayu pula menghimpunkan sekitar 120,000 kosa kata termasuk istilah pinjaman, kata umum dan istilah sains yang diserap ke dalam bahasa Melayu.
Dalam penggunaan harian, orang dewasa penutur asli dalam bahasa Inggeris biasanya menguasai 20,000–35,000 perkataan.
Penutur asli Melayu yang berpendidikan tinggi biasanya menguasai 20,000–25,000 perkataan dalam penggunaan harian.
Bahasa Melayu lebih analitik dan menggunakan imbuhan untuk meluaskan makna daripada kata dasar — contohnya dari kata dasar ajar boleh menjadi pengajaran, diajar, mengajar, pengajar, ajaran, dan sebagainya. Jadi, kosa kata boleh digandakan melalui morfologi walaupun jumlah kata dasar tidaklah setinggi bahasa Inggeris.
Dari segi jumlah entri kamus, Bahasa Inggeris memang jauh lebih mengatasi bahasa Melayu, iaitu sekitar lima kali ganda.
Bagaimanapun, dalam kehidupan harian, jumlah perkataan yang digunakan oleh penutur terpelajar kedua-dua bahasa tidak jauh berbeza, iaitu sekitar 20–30 ribu perkataan.
Bahasa Melayu pula mempunyai sistem imbuhan yang sangat produktif, jadi banyak makna boleh dihasilkan daripada kata dasar yang lebih sedikit.
Begitu luas dan berpengaruhnya bahasa Inggeris tidaklah dapat disangkal lagi. Bahasa Inggeris sudah menjadi “lingua franca” – bahasa perhubungan antarabangsa, bahasa perhubungan dalam urusan diplomatik, bahasa perhubungan untuk urusan komersil, dalam sektor dagang dan swasta.
Dalam Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bahasa Inggeris lebih mendominasi meskipun bahasa-bahasa utama dunia turut diberikan keutamaan.
Dalam Persidangan Kemuncak ASEAN juga demikian. Hampir semua pemimpin negara ASEAN bertutur dan berinteraksi dalam bahasa Inggeris.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri fasih berhujah menggunakan bahasa Inggeris meskipun penguasaan bahasa Melayu beliau tiada keraguan sama sekali.
Anggapan umum bila menggunakan bahasa Inggeris, menggunakan ekspresi dan pemilihan diksi yang dianggap bombastik, penuturnya dianggap hebat, bergaya, dan memukau.
Sesetengah orang mungkin akan mentertawakan jika ada penutur yang berucap atau menggunakan bahasa Inggeris yang tidak begitu sempurna tatabahasanya.
Kini penggunaan bahasa Inggeris semakin kuat pengaruhnya. Ada ibu bapa yang berkongsi dapatan, anak-anak di sekolah rendah lebih menggunakan bahasa Inggeris sesama rakan sebaya.
Keadaan ini dikatakan berpunca daripada pendedahan terhadap media sosial. Mereka lebih banyak menonton dan melihat siri-siri sitkom, filem, dan lagu dalam bahasa Inggeris.
Ini menjadikan penguasaan bahasa Melayu mereka agak kurang memberangsangkan. Penguasaan kosa kata mereka terhad. Lalu, mereka gagal untuk bercakap atau menulis dengan baik dan sempurna.
Sama ada telahan ini tepat sepenuhnya atau sebaliknya, ini bukanlah dapatan kajian akademik. Lebih kepada pengamatan dan pandangan balas segelintir ibu bapa.
Namun, janganlah disangkal jika hakikatnya bahasa Melayu meskipun bahasa rasmi negara, tahap penguasaan rakyat bukanlah sempurna dan memuaskan. Masih ada di kalangan rakyat yang kucar-kacir untuk menggunakan bahasa yang baik dan memuaskan.
Ada pula sikap sinikal di kalangan sesetengah orang kita. Bila menggunakan istilah yang jarang digunakan atau ungkapan yang tidak biasa, kita akan mentertawakan dan mencebik. Kononnya hendak menunjuk-nunjuk dan mengada-ngada. Kita akan memperli dan memperlekehkan.
Hal itulah yang terjadi apabila Dato’ Seri Anwar kerap memperkenalkan istilah atau ungkapan yang jarang dipakai. Misalnya, beliau menggunakan istilah ketimbang yang bermaksud berbanding.
Lebih jelas rujuk Kamus Lengkap Bahasa Indonesia (2006, halaman 311), istilah ketimbang bermaksud; daripada kata depan yang menyatakan perbandingan.
Hanya sekadar satu istilah ketimbang, hiruk-pikuk yang mengiringinya ialah sindiran, sinis dan cemuhan seolah-olah kita tidak pernah bersekolah.
Bahasa Melayu sudah sekian lama mapan dalam sistem pendidikan kebangsaan. Ia sudah menjadi bahasa ilmu, bahasa persuratan, bahasa dalam sektor pentadbiran awam dan bahasa wacana yang segar.
Apa yang diperlukan ialah memperluaskan dan memantapkan pemakaian bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu rentas disiplin, memastikan penggunaannya piawai, betul dan berkesan.
Bagi golongan yang sinikal, sinis dan mempersendakan wibawa bahasa Melayu, kita selalu diingatkan “Bahasa Jiwa Bangsa.”
Selepas lebih 60 tahun merdeka, wibawa bahasa Melayu tidak lagi harus disangsikan.
Sewajarnya lebih banyak kosa kata dicipta dan dimasukkan ke dalam entri daftar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Jika kosa kata semakin bertambah, bahasa Melayu tentu semakin kaya dan boleh digunakan dengan lebih berkesan serta meluas.
Jika saduran atau serapan daripada bahasa asing boleh memperkayakan kedudukan bahasa Melayu, mengapa tidak dilakukan sahaja tindakan lebih drastik.
Bahasa Melayu harus lebih subur, mekar dan ranum menghadapi cabaran era digital dan kuasa ekonomi boleh menentukan segala-galanya, termasuk bahasa.
Dalam hal bahasa, rakyat harus sentiasa berjiwa merdeka!

Penulis, Mohd Shah Abdullah, bekas wartawan dan Pensyarah Komunikasi. Kini beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Media dan Komunikasi kepada Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001