Kes Zara Qairina: KPM tak akan pernah lindungi mana-mana pihak, tidak kompromi buli

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menolak dakwaan kononnya kementerian itu melindungi mana-mana pihak yang disyaki terbabit dalam kes buli di sekolah.

Sebaliknya, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, menegaskan tidak akan sesekali melindungi sesiapa yang melakukan aktiviti tidak bermoral itu dengan tindakan tegas diambil mengikut garis panduan sedia ada.

Memetik laporan Berita Harian, Kah Woh berkata, pendirian itu turut terpakai kepada semua kes termasuk insiden kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, Sabah yang meninggal dunia pada 17 Julai lalu.

Kematian remaja itu mencetuskan reaksi meluas dalam kalangan masyarakat selepas timbul dakwaan wujud unsur buli serta kelemahan dalam siasatan awal, termasuk tiada bedah siasat dilakukan sebelum pengebumian.

“Saya nak maklumkan mengenai semua kes di sekolah sama ada berkaitan disiplin atau buli. Pihak KPM ada garis panduan yang berkuat kuasa dari semasa ke semasa.

“Dalam kes Zara, sekarang ini sebagaimana kita tahu, isu ini dalam siasatan pihak polis. KPM akan serahkan kepada polis untuk buat siasatan.

“KPM tegaskan kita tidak berkompromi terhadap mana-mana isu berkaitan buli dan kedua, kita takkan dan tak pernah cuba melindungi sesiapa seperti dinyatakan (melalui maklumat tular di media sosial), pada semua peringkat,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Semporna) yang menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan kes buli di sekolah, khususnya kes Allahyarham Zara, susulan pelbagai spekulasi timbul sedangkan kematian remaja itu sudah dilaporkan hampir sebulan lalu.

Kah Woh memberi jaminan, KPM sedia bekerjasama dengan pihak polis khususnya dalam memberi bantuan bagi siasatan yang sedang dijalankan.

Terdahulu, Mohd Shafie dalam soalannya mahukan penjelasan apa langkah diambil KPM bagi memastikan keselamatan pelajar terus dilindungi di kawasan sekolah.

“Saya harap ‘enforcement of law’ jangan lindungi mana-mana pihak terbabit, tak kira siapa dia. Kalau ia (benar) berlaku – mungkin manusia tak nampak perbuatan itu, sama ada pihak berwajib di peringkat sekolah, pihak keselamatan dan lain-lain – tapi Allah SWT nampak (semua) perbuatan di muka bumi.

“Pertama, saya harap ada tindakan komprehensif daripada KPM. Kita ada Jawatankuasa Disiplin, saya berharap, kalau ada duit, letaklah CCTV (kamera litar tertutup).

“Saya juga berharap Jawatankuasa Disiplin di peringkat sekolah di seluruh negara jangan diberikan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan guru, sebaliknya dipegang badan bebas supaya kita tahu apa sebenarnya yang berlaku di peringkat sekolah mengenai kes buli yang berlaku di merata tempat.

“Malah, mungkin ada kes buli di sekolah tak dilaporkan,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *