SANDAKAN: Ribuan orang membanjiri Dataran Harbour Mall di sini bagi menghadiri perhimpunan menuntut keadilan berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Matahir.
Wartawan Berita Harian, Poliana Ronnie Sidom melaporkan, orang ramai mula hadir seawal jam 7 malam semalam bagi menunjukkan sokongan dengan membawa sepanduk dan kain rentang, manakala anggota polis turut berada di lokasi bagi mengawal keadaan.
Selain deklamasi puisi, perhimpunan lebih dua jam itu turut diisi dengan ucapan, doa serta persembahan teater.
Penyelaras Sekretariat Solidariti Untuk Zara, Mohamad Kadir Abdul Jalil, berkata program itu sebagai tanda solidariti dan simpati terhadap keluarga Allahyarhamah, selain mendesak kebenaran di sebalik insiden itu didedahkan.
“Kami juga menggesa rakan dan orang ramai supaya tidak membuat kenyataan berunsur fitnah atau tidak wajar (berhubung kes ini). Serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk meneruskan siasatan.
“Kami tidak menyangka menerima sokongan luar biasa daripada masyarakat. Terima kasih kepada penduduk Sandakan kerana berdiri bersama,” katanya ketika ditemui di majlis berkenaan.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong Ket Kiun.
Salah seorang peserta, Muhamad Zarif Samsudin yang juga Pengerusi Masjid Wasatiyyah di Batu Sapi dekat sini, berharap tuntutan keadilan terhadap pelajar berkenaan dapat dizahirkan melalui perhimpunan itu.
Katanya, kehadirannya bukan sekadar tanda sokongan kepada keluarga mangsa, malah mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh.
“Kita juga lihat banyak maklumat tidak tepat tersebar. Biarlah pihak berkuasa dan polis menjalankan siasatan serta bertanggungjawab,” katanya.
Selain di Sandakan, majlis nyalaan lilin serupa turut diadakan di beberapa lokasi lain di negeri ini termasuk di Tawau dan Lahad Datu.
Pada 16 Julai lalu, Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga sebelum ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama kira-kira jam 4 pagi.
Mangsa disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001