Pasukan penyelamat Chile terus mencari pelombang terakhir selepas lima disahkan maut

RANCAGUA – Pasukan penyelamat di Chile sedang berusaha keras untuk mencari pelombong terakhir yang masih hilang selepas lima pekerja disahkan maut dalam kejadian runtuhan di lombong tembaga El Teniente, salah satu lombong bawah tanah terbesar di dunia.

Kejadian berlaku pada hari Khamis lalu apabila gegaran seismik berukuran 4.2 magnitud menyebabkan runtuhan struktur di sektor Andesita lombong tersebut, terletak kira-kira 100 kilometer di selatan Santiago.

Gegaran itu dipercayai berpunca sama ada daripada aktiviti semula jadi atau kerja penggerudian.

Setakat ini, lima pelombong telah disahkan terkorban, termasuk Paulo Marín Tapia, seorang pekerja kontraktor yang dikenali melalui kenyataan rasmi syarikat milik kerajaan, Codelco.

Mayat beberapa mangsa lain telah ditemui, namun masih menunggu pengesahan identiti oleh pihak berkuasa.

Presiden Chile, Gabriel Boric, telah membatalkan jadual rasmi beliau untuk melawat keluarga mangsa dan memantau operasi menyelamat secara langsung.

Beliau berikrar bahawa kerajaan akan menggunakan segala sumber dan teknologi yang ada untuk menyelesaikan misi pencarian.

“Kami akan lakukan segala yang termampu untuk menemui mereka,” kata Boric, sambil menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Operasi menyelamat melibatkan lebih 100 anggota dan penggunaan jentera berat untuk menembusi batu setebal 90 meter.

Setiap hari, pasukan penyelamat dijangka dapat membersihkan antara 15 hingga 20 meter laluan.

Lombong El Teniente, yang telah beroperasi sejak awal abad ke-20, mempunyai lebih 4,500 kilometer terowong bawah tanah dan menyumbang hampir 7 peratus daripada pengeluaran tembaga Chile pada tahun lalu.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *