Keputusan batal cukai barang mewah: Kerajaan gagal tunjuk keberanian politik

PUTRAJAYA – Sekretariat Orang Melayu (SOM) kesal dan tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan pelaksanaan cukai barang bernilai tinggi (HVGT) kepada golongan kaya dan berpendapatan tinggi.

Ketua Setiausahanya, Datuk Wira Marzuki Yahya berkata, selepas ratusan ribu rakyat turun dalam himpunan aman ‘Turun Anwar’ Sabtu lalu, kerajaan mendengar keluhan rakyat marhaen dengan membatalkan pelaksanaan perluasan sistem cukai SST.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan lebih prihatin dan simpati kepada nasib golongan kaya raya dan berpendapatan tinggi dengan menghapuskan cukai barang-barang mewah serta berjenama.

“Apabila kerajaan membuat keputusan itu, bermakna kerajaan tidak akan meneruskan pelaksanaan cukai barang bernilai tinggi ke atas barangan mewah seperti jam tangan mewah, beg tangan berjenama, barangan kemas, pakaian berjenama dan barangan lain yang dikategorikan sebagai “luxury goods”.

“Dengan kata lain, kerajaan tidak akan mengutip cukai atas barangan mewah itu kerana nak menjaga hati golongan berpendapatan tinggi dan kaya raya, agar mereka tidak tertekan dengan kos sara hidup.

“Agak pelik tindakan kerajaan, apabila peluang yang ada untuk mengutip hasil negara hanya disia-siakan. Segala cukai untuk golongan ini dihapuskan, tetapi untuk masyarakat marhaen, B40, M40 diperluaskan pelaksanaan cukai SST daripada lebih 1,000 kepada lebih 4,000 jenis barangan keperluan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam jawapan bertulis di sidang Dewan Rakyat semalam, Kementerian Kewangan memberitahu, kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan pelaksanaan cukai barang bernilai tinggi.

Marzuki berkata, alasan diberikan sangat tidak relevan, iaitu cukai berkenaan membebankan kos sara hidup kepada golongan kaya raya.

Malah, katanya, tindakan itu langsung tidak adil kepada golongan sederhana dan miskin, yang mengharapkan kerajaan menghapuskan cukai SST dan mengenakan semula beberapa subsidi yang ditarik sebelum ini.

“Nampaknya, kerajaan mengharapkan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk membayar cukai, sedangkan golongan kaya tidak dikenakan sebarang cukai tambahan pun serta boleh meneruskan gaya hidup mewah tanpa sebarang tekanan cukai.

“Ini jelas bercanggah dengan prinsip keadilan fiskal. Banyak negara luar seperti Korea Selatan, Jepun, Indonesia dan Eropah mengenakan cukai barang mewah, yang dianggap sebagai mekanisme biasa untuk kawal jurang kekayaan.

“Namun di Malaysia, membatalkan cukai barang mewah ini memberi isyarat bahawa kerajaan lebih memihak kepada kehendak golongan kaya atau pelobi industri, bukannya menjaga keseimbangan ekonomi serta keadilan sosial,” katanya.

Ujar beliau, sebagai sebuah entiti yang memperjuangkan keadilan sosial dan ekonomi, SOM memandang serius langkah itu, yang gagal menyasarkan golongan berpendapatan tinggi untuk menyumbang semula kepada pembangunan negara.

“Kami percaya, cukai barang bernilai tinggi ini mampu menambah hasil negara tanpa membebankan rakyat biasa, kerana golongan berada wajar menyumbang lebih, sesuai dengan kemampuan mereka.

“Oleh itu, keputusan ini seolah-olah menutup ruang kepada keadilan fiskal, dan memberi laluan mudah kepada ketirisan hasil negara.

“Kami menggesa kerajaan untuk menilai semula keputusan ini dan menarik balik pemansuhan cukai barangan mewah secara menyeluruh,” katanya.

Kata beliau, kesejahteraan negara tidak boleh dibina atas keselesaan golongan kaya semata-mata, sementara rakyat biasa terus menanggung beban.

Rakyat menurutnya, berhak untuk merasa kecewa dengan kerajaan Madani, yang gagal menunjukkan keberanian politik dalam melaksanakan dasar sepatutnya.

“Lebih mendukacitakan, tindakan ini memberi isyarat bahawa golongan elit dan berkepentingan masih berupaya mempengaruhi dasar kerajaan, meskipun atas nama reformasi yang sudah mati,” ujarnya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *