Kerajaan Malaysia tidak campur tangan kes Riza Chalid – PM Anwar

JAKARTA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau mengenali dan pernah bertemu dengan ahli perniagaan kontroversi Indonesia, Mohammad Riza Chalid, namun menegaskan kerajaan Malaysia tidak campur tangan dalam sebarang proses undang-undang membabitkan individu itu di Indonesia.

“Ya, saya kenal, pernah bertemu. Tetapi proses undang-undang yang sedang berlangsung di Indonesia, biarlah berjalan sewajarnya,” kata Anwar dipetik Astro Awani dalam satu pertemuan tertutup bersama beberapa pemimpin redaksi media Indonesia di Jakarta.

Sebelum ini, Koordinator Masyarakat Anti Korupsi Indonesia (MAKI), Boyamin Saiman mendakwa Riza Chalid kini menetap di Malaysia selepas ditetapkan sebagai suspek dalam kes rasuah berkaitan pengurusan minyak mentah PT Pertamina bagi tempoh 2018 hingga 2023.

Menurut Boyamin, Riza dipercayai telah lama tinggal di negeri Johor dan didakwa telah berkahwin dengan seorang kerabat diraja dari salah sebuah negeri di Malaysia, yang dikenal pasti bermula dengan huruf ‘J’ atau ‘K’.

Boyamin juga mendakwa Riza mempunyai hubungan persahabatan yang rapat dengan Anwar sejak sebelum Ahli Parlimen Tambun itu dilantik sebagai Perdana Menteri.

Maklumat keberadaan Riza di Malaysia turut disahkan oleh pihak berkuasa Indonesia. Pemangku Ketua Pengarah Imigrasi, Yuldi Yusman mengesahkan Riza telah meninggalkan Indonesia dan memasuki Malaysia pada 6 Februari 2025, dan sehingga kini belum kembali.

“Sejak keluar dari Indonesia, beliau tidak pernah masuk semula ke negara ini,” kata Yuldi ketika dihubungi Tempo pada 16 Julai lalu.

Tambahnya lagi, pihak Imigrasi Indonesia telah menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia untuk mengesan lokasi semasa Riza.

Riza merupakan antara sembilan individu yang diumumkan sebagai suspek baharu dalam skandal rasuah minyak mentah Pertamina oleh Jabatan Peguam Negara (Kejagung) Indonesia, pada 10 Julai 2025.

Menurut Pengarah Penyiasatan Jenayah Khas Kejagung, Abdul Qohar, Riza kini dalam status buruan dan telah dimasukkan ke dalam senarai orang dikehendaki (DPO).

“Beliau merupakan pemilik sebenar (beneficial owner) kepada syarikat PT Orbit Terminal Merak. Setakat ini, kami percaya beliau berada di luar negara,” kata Qohar.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *