KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tiada sebarang tangkapan dibuat berhubung himpunan pembangkang yang dihadiri anggaran 18,000 peserta di ibu negara, hari ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata perhimpunan itu berlangsung dalam keadaan aman, terkawal dan tanpa sebarang insiden yang menggugat ketenteraman awam.
Beliau berkata, seramai 3,000 pegawai serta anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan pelbagai jabatan di Bukit Aman ditugaskan membantu memudah cara perjalanan perhimpunan itu.
“Sepanjang perhimpunan itu, PDRM kekal komited memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara.
“Semua elemen kawalan dilakukan secara profesional dan beretika, mencerminkan pendekatan tenang serta tanggungjawab PDRM dalam memastikan ruang demokrasi dapat diisi dengan selamat dan berhemah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Khalid berkata, PDRM sentiasa memastikan ketenteraman awam dan keselamatan negara serta kelangsungan hak rakyat sentiasa dilindungi secara adil, berhemah dan juga mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan.
Perhimpunan itu menyaksikan peserta berkumpul secara berperingkat mulai jam 10.30 pagi di beberapa lokasi tumpuan membabitkan pusat beli-belah Sogo, Masjid Negara, Masjid Jamek dan Pasar Seni sebelum berarak menuju ke Dataran Merdeka kira-kira jam 2 petang.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001