KUALA LUMPUR – Seramai 19 Ketua Cabang PKR Johor menggesa siasatan tatatertib dan penggantungan sementara keahlian membabitkan sembilan Ahli Parlimen parti itu susulan tindakan membuat satu sidang media secara terbuka bagi mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pelantikan badan kehakiman.
Dalam satu kenyataan bersama malam tadi, mereka menyifatkan pendekatan semua Ahli Parlimen terbabit melangkaui batas disiplin parti dan bercanggah dengan Kod Tataetika Anggota PKR di bawah Perkara 10.1 dan 10.2.
“Kami mewakili akar umbi Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) dari seluruh negara memandang serius tindakan sembilan Ahli Parlimen Keadilan yang mengadakan sidang media secara terbuka dan mendesak kerajaan menubuhkan RCI berhubung isu pelantikan badan kehakiman negara ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga presiden parti, sedang berada dalam lawatan kerja di luar negara.
“Tindakan ini bukan sahaja melanggar disiplin dan etika parti, malah memberi tanggapan buruk terhadap kepimpinan Perdana Menteri serta membuka ruang kepada manipulasi politik pihak lawan.
“Sebarang isu berkaitan dasar atau keprihatinan terhadap pentadbiran negara seharusnya disalurkan melalui platform dalaman parti seperti Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP),” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Ketua Cabang PKR Mersing, Khairil Adanan; Ketua Cabang PKR Bakri, Mohd Ysahruddin Kusni; Ketua Cabang PKR Pengerang, Mohd Faizul Abd Ghani; Ketua Cabang PKR Seri Gading, Abd Saad Salleh; Ketua Cabang PKR Sembrong, Mohd Shahrun Radzi; Ketua Cabang PKR Ayer Hitam, Rosman Tahir; Ketua Cabang PKR Muar, Roselin Nona dan Ketua Cabang PKR Iskandar Puteri, Shamala Sham.
Turut menyokong kenyataan itu adalah Ketua Cabang PKR Pasir Gudang, Murad Jailani; Ketua Cabang PKR Tebrau, Prakash Maniam; Ketua Cabang PKR Pontian, Haniff Hosman; Ketua Cabang PKR Kluang, Kalytas Chandarahasan; Ketua Cabang PKR Parit Sulong, Hishamuddin Misrin Ishak; Ketua Cabang PKR Tanjung Piai, Sayful Ariffin Abdul Karim; Ketua Cabang PKR Pagoh, Subramani Chami; Ketua Cabang PKR Segamat, Shamala Vasudevan; Ketua Cabang PKR Kota Tinggi, Ibrahim Mohd Nor; Ketua Cabang PKR Labis, Ravi Sankar dan Ketua Cabang PKR Pulai, Faezuddin Puad.
Isnin lalu, sembilan Ahli Parlimen PKR mendesak kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah yang kini mencetuskan kebimbangan terhadap kebebasan institusi kehakiman negara.
Ahli Parlimen PKR terbabit adalah Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.
Dua lagi ahli Parlimen PKR yang tidak hadir pada sidang media itu namun menyokong pendirian berhubung reformasi institusi kehakiman itu ialah Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar.
Menurut kenyataan itu, mereka tidak menolak pendirian sembilan Ahli Parlimen PKR itu demi menjaga integriti institusi kehakiman, namun pendekatan diambil adalah melangkaui batas disiplin parti dan bercanggah dengan Kod Tataetika Anggota PKR.
Mereka merujuk Perkara 10.1 mengenai kewajipan anggota parti, antaranya 10.1.1 supaya patuh kepada perlembagaan dan kod etika parti, 10.1.3 pula menghormati keputusan parti dan 10.1.6, menjaga nama baik parti.
Sementara itu, antara yang terkandung dalam Perkara 10.2 adalah larangan kepada anggota parti termasuk perkara 10.2.1 melakukan aktiviti sabotaj kepada keputusan parti dan pimpinannya, 10.2.2 iaitu membuat kenyataan umum tidak benar atau berbentuk fitnah untuk menjatuhkan maruah anggota dan 10.2.5, apabila melakukan tindakan menyalahi peraturan dan perlembagaan parti.
“Sehubungan itu, kami dengan tegas meminta Setiausaha Agung parti, Datuk Dr Fuziah Salleh, segera menggantung keahlian sementara kesemua Ahli Parlimen terbabit dan memulakan siasatan tatatertib menyeluruh melalui Jawatankuasa Disiplin Parti.
“Tindakan tegas ini penting demi memelihara kewibawaan parti, memulihkan semula disiplin organisasi dan mengelakkan persepsi buruk yang boleh menjejaskan perpaduan Keadilan secara keseluruhan. Keadilan tidak boleh menjadi parti yang longgar dalam soal tatakelola dan kesetiaan institusi dari kalangan anggotanya,” katanya. – Laporan Berita Harian
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001