PASIR MAS – Seorang ibu lima anak bertindak agresif, cuba melarikan diri ketika menerima rawatan di Hospital Pasir Mas selepas ditahan polis berhubung kes penipuan tambah nilai Touch ‘n Go (TnG) pada Ahad lalu.
Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, suspek berusia 36 tahun dan berada dalam lokap tahanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas dipercayai berpura-pura pengsan akibat gastrik sebelum dibawa ambulans untuk mendapatkan rawatan.
Turut serta mengiringi suspek ialah lima anggota polis termasuk seorang wanita yang menaiki sebuah kereta secara berasingan.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, suspek bertindak menendang anggota pengiring wanita di bahagian betis kanan beberapa kali sebaik tiba di hospital dalam cubaaan melepaskan diri.
“Berlaku pergelutan antara suspek menyebabkan kecederaan ringan kepada anggota polis wanita itu,” katanya dipetik Sinar Harian.
Beliau berkata, suspek sebelum itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Pasir Mas berhubung kes penipuan tambah nilai TnG yang berlaku pada 21 Oktober tahun lepas di sebuah stesen minyak di Kampung Gaung, Pasir Mas.
Kejadian berlaku apabila suspek bersama anak perempuannya yang berusia 13 tahun mendekati kaunter untuk membeli barangan dan tambah nilai TnG bernilai RM200, namun kemudian tidak dapat membayar kerana mendakwa kad debitnya tidak mempunyai kemudahan pengeluaran wang tunai di mesin bank lain.
“Suspek berpura-pura membatalkan pembelian dan memulangkan resit pin tambah nilai kepada pengadu, tetapi selepas beredar pin tersebut didapati telah ditebus.
“Semakan rakaman kamera litar tertutup mendapati anak suspek mengambil gambar nombor pin pada resit tersebut dan digunakan oleh suspek,” katanya.
Ujar beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan suspek direman di Mahkamah Pasir Mas selama tiga hari bermula Isnin.
Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana mencederakan penjawat awam ketika menjalankan tugas.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001