KUALA LUMPUR – Jika sebelum ini Vietnam diletakkan sebagai pilihan utama dalam Kumpulan F bagi kempen kelayakan Piala Asia 2027 berdasarkan ranking mereka di kedudukan 109 dunia, kini status itu boleh dianggap sudah bertukar milik kepada Malaysia.
Meskipun masih terlalu awal, namun dengan persembahan cemerlang yang ditampilkan dan kejayaan membelasah Vietnam 4-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin membuka peluang cerah untuk Harimau Malaya merebut tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Skuad kendalian Peter Cklamovski ketika ini mendahului saingan Kumpulan F dengan mengumpul enam mata, tiga mata di depan Vietnam dan Laos, manakala Nepal di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.
Menewaskan Nepal 2-0 dalam aksi pertama, 25 Mac lalu sebelum mengatasi Vietnam, Harimau Malaya yang menghuni ranking 131 dunia mengekalkan rekod kemenangan berturut-turut selain terus kebal apabila tidak bolos dalam dua perlawanan awal.
Skuad negara selepas ini akan meneruskan perjuangan dalam Kumpulan F menentang pasukan ranking 190 dunia, Laos dua kali pada 9 dan 14 Oktober depan sebelum berdepan Nepal (ranking 175) pada 18 November depan.
Berdasarkan kedudukan dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan prestasi semasa, skuad negara dianggap tidak berdepan masalah untuk memenangi tiga perlawanan itu.
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski menjelaskan bahawa pihaknya sudah memiliki perancangan rapi bagi menghadapi Laos yang dianggapnya sebagai perlawanan mencabar dalam usaha Harimau Malaya mengekalkan momentum cemerlang.
“Kami teruja untuk menghadapi September (jendela perlawanan antarabangsa). Memang tiada perlawanan kelayakan Piala Asia, tetapi kami akan menggunakan peluang itu untuk mencabar diri dan membina permainan kami menentang pasukan lawan yang kuat.
“Pasukan kebangsaan akan mengumumkan apa yang akan kami lakukan. Bukan masa untuk saya umumkan sekarang, tetapi semuanya sudah ditetapkan. Semua orang pasti teruja kerana ia akan menjadi satu cabaran hebat yang sekali lagi akan menguji kekuatan pasukan.
“Kami mahu terus melangkah ke hadapan dan selepas itu bersedia untuk cabaran pada Oktober, yang mana kami akan berdepan dua perlawanan menentang Laos,” katanya dipetik laporan Berita Harian.
Selepas Laos dan Nepal, Harimau Malaya bakal membuat perhitungan penting yang dijangka akan menjadi perlawanan penentuan juara Kumpulan F menentang Vietnam di gelanggang lawan pada 31 Mac tahun depan.
Sekiranya persembahan seperti kelmarin atau lebih mantap dapat ditampilkan, tidak mustahil Harimau Malaya mampu menjinakkan Vietnam sekali lagi walaupun beraksi di tempat lawan.
Berdasarkan format pertandingan, hanya juara kumpulan yang akan meraih tiket ke Arab Saudi dengan Harimau Malaya dan Naga Emas dilihat menjadi pasukan pilihan dalam perebutan tiket itu.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001