KUALA LUMPUR – Sebanyak 771 judul buku bahasa Melayu pelbagai bidang dan genre berjaya diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui dana Penerbitan Inisiatif Buku Negara (PIBN) dengan jumlah kos kira-kira RM7 juta.
Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari, berkata bagi tahun ini sahaja, 80 judul buku sudah diluluskan pembiayaannya dari Januari hingga Mei 2025, dengan jumlah dana kira-kira RM600,000.
Beliau berkata, ia adalah satu angka yang besar dalam tempoh lima bulan sahaja.
“Pembiayaan itu sudah pasti memberi manfaat menyeluruh dalam pelbagai peringkat penerbitan, daripada penyelidikan dan penulisan sehinggalah kepada aspek teknikal seperti penyuntingan dan penyediaan ilustrasi.
“Dalam usaha memperkasa industri perbukuan negara, DBP turut memainkan peranan sebagai urus setia Dana PIBN dengan memperhebat aktiviti promosi kepada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya dalam kenyataan semalam.
Dr Hazami berkata, pihaknya sudah mengadakan taklimat kepada penerbit dan persatuan, selain melaksanakan Jerayawara PIBN menerusi penyertaan dalam pelbagai acara perbukuan seperti pesta buku dan himpunan penulis di seluruh negara.
Kursus penulisan percuma
“Kita juga menganjurkan kursus percuma berkaitan penulisan dan penerbitan yang disertai penerbit, persatuan dan individu.
“Usaha berterusan DBP dalam mempromosi Dana PIBN akan terus memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap kewujudan dana berkenaan, seterusnya menggalakkan lebih ramai pihak menghantar manuskrip untuk penilaian dan permohonan.
“Urus setia sentiasa bersedia memberikan khidmat bimbingan dan membantu melancarkan proses permohonan dana ini,” katanya.
Hazami berkata, pihaknya mengucapkan tahniah kepada penerbit, persatuan dan individu yang selama ini memohon dan berjaya menerima pembiayaan dana berkenaan.
“Kami berharap dengan pemberian dana berkenaan dapat menggalakkan pemain industri perbukuan untuk menerbitkan lebih banyak buku berbahasa Melayu yang berkualiti, seterusnya memperkukuh peranan buku sebagai teras utama dalam pembangunan ilmu dan kemajuan negara,” katanya.
Katanya, Dana PIBN diwujudkan sebagai inisiatif untuk menyokong penerbitan buku berbahasa Melayu yang berkualiti serta memperkukuh pembangunan kandungan tempatan dalam industri perbukuan negara. – BH
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001