KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini membuat keputusann yang memihak kepada Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, dan mengarahkan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff, membayar ganti rugi sebanyak RM400,000 berikutan kenyataan fitnah yang dibuatnya lapan tahun lepas.
Keputusan itu dibacakan oleh Hakim Datuk Aliza Sulaiman yang membenarkan tuntutan Hannah selepas menolak hujah defendan bahawa beliau tidak mempunyai locus standi untuk memulakan saman tersebut.
Saman fitnah yang difailkan pada 2022 itu tercetus daripada dua hantaran Facebook oleh Kamarul Zaman antara 10 dan 17 Mei 2017, dengan beliau mendakwa Hannah mempunyai agenda memurtadkan dan menggunakan platform politiknya untuk mempromosikan agama Kristian.
Beliau juga merujuk kepada autobiografi Hannah bertajuk Becoming Hannah: A Personal Journey sebagai bukti kepada agenda Kristian yang didakwa, serta mendakwa Hannah berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian.
Dalam penyataan pembelaannya, Kamarul Zaman menafikan bahawa hantaran tersebut adalah fitnah dan menegaskan kenyataannya adalah berasas. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001