Empat individu rentas sempadan secara haram ditahan PGA

KOTA BHARU – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 18 Senoi Praaq menahan empat individu yang dipercayai memasuki Malaysia secara tidak sah melalui pangkalan haram Tok Awang Belulang dalam Op Taring Wawasan Kelantan pada Isnin lalu.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, dalam operasi pada jam 3.15 petang itu, anggota PGA yang melakukan rondaan telah mengesan kumpulan terbabit, namun pemandu bot bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa sebelum meninggalkan penumpangnya di tebing sungai.

“Hasil pemeriksaan mendapati seorang daripada suspek merupakan lelaki tempatan berumur 30 tahun manakala tiga lagi termasuk dua wanita ialah warganegara Thailand berumur 20-an dipercayai memasuki negara ini tanpa dokumen sah.

“Lelaki tempatan itu ditahan di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63, sementara tiga warga Thailand berkenaan ditahan di bawah Seksyen 6(1) akta yang sama sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, dua lelaki yang ditahan itu turut didapati positif dadah jenis methamphetamine selepas ujian saringan awal dilakukan terhadap mereka. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *