19 ketua PKR di Selangor sokong Nurul Izzah tanding timbalan presiden

PETALING JAYA – Seramai 19 daripada 22 Ketua PKR Selangor masing-masing menyatakan sokongan kepada Nurul Izzah Anwar bertanding jawatan Timbalan Presiden parti itu pada pemilihan 23 Mei ini.

Antara mereka ialah Ketua PKR Selangor yang juga Ketua PKR Gombak, Amirudin Shari; Borhan Aman Shah (Sepang), Hee Loy Sian (Petaling Jaya), Najwan Halimi (Shah Alam), Ahmad Mustain Othman (Sabak Bernam), Azhar Achil (Sungai Besar) dan Dr. N. Sathia Prakash (Hulu Selangor).

Yang lain Ketua PKR Kuala Selangor, M. Sivabalan, diikuti Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad (Ampang), M. Rajendra Kumar (Hulu Langat), Lim Kim Eng (Bangi), Zaihasri Jaafar (Puchong), M. Pravin (Subang), Elizabeth Wong Keat Ping (Damansara), R. Ramanan (Sungai Buloh), Azizi Ayob (Kapar), Azmizam Zaman Huri (Klang), G. Gunarajah (Kota Raja) dan Mohd Afiq Tuniman (Kuala Langat).

Sementara itu, ketua yang tidak berada dalam senarai itu ialah penyandang kerusi Timbalan Presiden, Rafizi Ramli (Pandan); ADUN Rawang, Chua Wei Kiat (Selayang), Yahya Shaari (Tanjong Karang) dan Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri yang namanya turut dikaitkan dengan jawatan Timbalan Presiden PKR.

Dalam kenyataan bersama, Amirudin berkata, parti memerlukan Timbalan Presiden yang tidak terikat dalam pentadbiran kerajaan supaya dapat fokus mengukuhkan parti, terutama menjelang PRU akan datang.

“Kita perlukan sosok yang boleh memberi sepenuh tenaga untuk mempersiapkan PKR menghadapi PRU akan datang dengan strategi kukuh, struktur tersusun dan semangat anggota yang segar,” kata mereka dalam kenyataan itu.

Selain itu, kumpulan Ketua PKR berkenaan turut mengingatkan bahawa Izzah bukanlah muka baharu dalam arena politik, malah telah membuktikan kredibilitinya sebagai Ahli Parlimen dan Naib Presiden.

“Dalam dan luar negara mengiktiraf ketokohan beliau, tetapi yang paling utama anggota parti tahu siapa beliau, dan tahu apa yang telah beliau korbankan untuk PKR.

“Dengan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden, kita dapat menyusun semula barisan yang kuat, menyemai semula kepercayaan rakyat dan memastikan PKR kekal relevan, progresif dan berwibawa.

“Dengan penuh rasa tanggungjawab, kami berdiri teguh bersama Nurul Izzah. Semoga pencalonan ini menjadi permulaan kepada babak baharu perjuangan PKR yang lebih bersatu, matang dan membina,” kata kenyataan itu lagi.

Selain Selangor, Cabang PKR negeri lain seperti Perak, Melaka dan Pahang turut menyatakan sokongan kepada Nurul Izzah bertanding jawatan nombor dua itu.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *