KUANTAN – Seorang pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pekan dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah tanpa pengetahuan keluarga, dipercayai kerana enggan kembali ke asrama.
Pelajar itu, Anas Baihaqi Miqdad Johari, 13, disedari hilang oleh ibunya kira-kira jam 4 petang semalam selepas mendapatinya tidak ada dalam bilik tidur.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Zahari Wan Busu berkata, sebelum kejadian, ibu mangsa berusia 41 tahun memaklumkan Anas Baihaqi masih berada di rumah sekitar jam 3.30 petang.
“Bagaimanapun, tidak lama kemudian, pengadu menyedari anaknya tiada lalu mencarinya di sekitar kawasan perumahan, tetapi gagal dikesan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut beliau, semakan awal mendapati remaja berkenaan memakai kemeja-T merah, seluar trek hitam dan kasut sukan jenama Puma ketika keluar dari rumah.
Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa sebelum ini pernah menyuarakan keengganan pulang ke asrama kerana tidak sanggup berjauhan daripada keluarga.
“Dia juga didapati membawa bersama telefon bimbit milik adiknya, yang masih boleh dihubungi, namun tiada sebarang jawapan. Remaja itu turut membawa kasut sukan, beg galas sekolah dan wang tunai kira-kira RM200,” katanya.
Wan Zahari berkata, ini merupakan kali pertama remaja berkenaan dilaporkan hilang dan polis giat menjalankan siasatan serta usaha mengesannya.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau terlihat kelibat remaja ini diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001