KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat isu Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini.
Ahli Dewan Tertinggi Putra, Mohamed Shahrin Ismail berkata, ada kemungkinan berlaku rasuah dan salah guna kuasa dalam proses kelulusan pengambilan tanah oleh pemaju serta kadar nilai pampasan bayaran daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).
Beliau turut mempersoalkan, mengapa isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru tidak dibincangkan di Kabinet ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin Perdana Menteri dan Tan Sri Anuar Musa sebagai Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu.
Dakwanya, pemaju mendapat lampu hijau melalui Akta Pengambilan Tanah 1960 pada era pemerintahan Perikatan Nasional (PN) walaupun Khalid Samad (Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan) membantah tindakan Anuar di Dewan Rakyat.
“Putra minta SPRM menyiasat siapa terlibat dan mengapa kerajaan PN ketika itu memihak kepada pemaju, bukannya kepada pemilik tanah.
“Ketika rundingan pampasan dan kelulusan pengambilan tanah Kampung Sungai Baru awalnya tiada penglibatan pihak kerajaan pada tahun 2016 hingga 2017, hanya era Barisan Nasional (BN) ada rundingan antara pemaju dan penduduk.
“Rundingan tawaran kepada penduduk dari pemaju yang diberikan pada era BN dikatakan tidak berjaya, apabila lebih 100 penduduk menolaknya kerana khuatir rumah tidak siap dan berkemungkinan terbengkalai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, kebenaran kepada pemaju mengambil tanah telah diselesaikan selepas Anuar menandatangani Akta Pengambilan Tanah 1960 dan ketika kejatuhan PH 1.0 yang berlaku ‘tebuk atap’.
“Difahamkan, ia berlaku tanpa pengetahuan penduduk, yang mana perjanjian telah ditanda tangani walaupun tanpa persetujuan majoriti penduduk memberikan tanah mereka atas tujuan pembangunan.
“Tuntutan pampasan oleh penduduk ketika itu lebih bersifat kekhuatiran kemampuan pemaju menyiapkan rumah dan membayar nilaian tidak seperti kadar semasa yang ditetapkan oleh JPPH,” katanya.
Justeru, Mohamed Shahrin menggesa SPRM buka kertas siasatan mengenai kelulusan pengambilan tanah dan kadar harga yang diberikan dua kali kepada penduduk dengan status berbeza yang diberikan penilaian harga oleh jabatan yang sama ketika kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Shahidan Kassim selaku Menteri Wilayah menggantikan Anuar.
Ujar beliau lagi, isu Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur dikelirukan oleh status MAS (Malay Agricultural Settlement) atau tidak.
“Sekiranya tidak, nilai harga diberikan waktu itu jauh lebih tinggi, yang mana harga melalui nilaian RM650 hingga RM800 kaki persegi mengikut lapis kedudukan tanah jatuh teruk bila ia digembar gemburkan berstatus bukan MAS.
“Putra berharap isu nilaian harga dan status MAS atau tidak, dapat diselesaikan dengan betul tanpa ada birokrasi atau korupsi kerana ianya melibatkan jumlah besar ekonomi orang Melayu.
“Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menyebut nilai kawasan strategik Kampung Baru itu mencecah RM3,000 kaki persegi melibatkan kawasan orang Melayu dan ia merupakan warisan Melayu yang wajar dipertahankan,” katanya.
Kata beliau, Putra berpegang pada prinsip hanya memihak kepada kebenaran tanpa mengira apa-apa sentimen dan turut menggesa Kerajaan Madani prihatin serta mendalami isu ini dengan harapan janganlah penduduk Kampung Sungai Baru dianiayai ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001