KUALA LUMPUR – SumiSaujana Group Berhad (SumiSaujana) pengeluar bahan kimia khusus untuk industri minyak dan gas (O&G), memeterai kerjasama strategik dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Kerjasama itu bagi tujuan memanfaatkan teknologi yang dibangunkan oleh MPOB bagi pengilangan dan pengkomersialan bahan perantara berasaskan sawit, poliol berasaskan sawit dan poliol poliester berasaskan bio.
Melalui pemeteraian Perjanjian Pelesenan dan Pengkomersialan itu, menandakan satu langkah penting dalam usaha Malaysia untuk memperluas aplikasi industri produk berasaskan sawit dan mengukuhkan kedudukan negara sebagai pemain utama dalam pasaran kimia hijau global.
Teknologi dilesenkan MPOB dibangunkan melalui penyelidikan menyeluruh, termasuk bagi penghasilan bahan perantara berasaskan sawit, poliol dan poliol poliesterbio yang menawarkan produk boleh diperbaharui, alternatif kepada bahan kimia berasaskan petroleum.
Sebatian ini digunakan secara meluas dalam penghasilan poliuretana, yang menyumbang kepada pelbagai sektor termasuk automotif, pembinaan, pelekat, salutan dan barangan pengguna.
Pengarah Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Sumisaujana, Norazlam Norbi berkata, perjanjian dengan MPOB itu adalah langkah bermakna dalam strategi pertumbuhan jangka panjang syarikat.
“Kami melihat nilai yang besar dalam mengintegrasikan inovasi berasaskan sawit yang mampan ke dalam portfolio produk kami, membolehkan menembusi pasaran baharu sambil kekal seiring dengan peralihan global ke arah pembuatan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
“Kami bangga menjadi sebahagian dalam mengkomersialkan teknologi tempatan untuk impak global,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, kerjasama itu bukan hanya melibatkan pemindahan teknologi, ia mengukuhkan peranan sinergi awam-swasta dalam pembangunan industri sawit yang mampan.
“Kerjasama ini juga membuka peluang kepada penggiat industri untuk meneroka potensi teknologi inovatif MPOB dan menyumbang kepada pertumbuhan industri kimia yang lebih mampan serta berdaya saing di peringkat global.
“Dengan memperluaskan potensi hiliran minyak sawit, kita bukan sahaja meningkatkan rantaian nilainya, tetapi juga mempromosikan peranan Malaysia dalam pembuatan yang prihatin terhadap iklim,” katanya.
Mengulas lanjut, kerjasama itu mencerminkan strategi penyelidikan dan pembangunan (R&D) MPOB yang lebih luas untukmeningkatkan nilai komersial minyak sawit melalui aplikasi hiliran bernilai tinggi.
Kerjasama itu juga menyokong Pelan Induk Perkongsian Awam-Swasta Malaysia 2030 (PIKAS 2030) yang bertujuan untuk meletakkan Malaysia sebagai hab global bagi teknologi berasaskan bio yang mampan.
Pasaran poliuretana global diunjurkan mencecah USD86.28 bilion pada tahun 2024, manakala pasaran bahan perantara berasaskan sawit dianggarkan bernilai USD17.0 bilion pada tahun 2022 – sekali gus menyerlahkan potensi pasaran yang besar. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001