MSB Global sasar raih RM26.60 juta daripada IPO

MSB Global sasar raih RM26.60 juta daripada IPO

KUALA LUMPUR – MSB Global Group Berhad (MSB Global) pemain terkemuka dalam industri alat ganti dan komponen automotif selepas pasaran mensasarkan RM26.60 juta hasil yang akan diraih dari tawaran awam permulaan (IPO) yang dilancarkan hari ini.

Sempena penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia, hasil yang diraih melalui terbitan 133 juta saham biasa baharu pada harga runcit RM0.20 sesaham, sebanyak RM4.97 juta akan digunakan untuk pembinaan semula kilang dan gudang baharu bagi menyokong pengeluaran pelincir dan cecair, RM6 juta untuk pembelian mesin, peralatan dan bahan mentah untuk mewujudkan barisan pengeluaran campuran dan isian dan kemasan, RM0.84 juta untuk menyokong pelancaran dan pengedaran pengecas kenderaan elektrik (EV).

Manakala RM5.50 juta untuk pembayaran balik pinjaman bank, RM4.79 juta untuk modal kerja am dan RM4.50 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.

Pengarah Urusan MSB Global, Datuk Ow Kee Foo berkata, pelancaran prospektus itu menandakan satu babak penting untuk MSB Global.

“IPO ini akan membolehkan kami mengukuhkan kedudukan dalam industri automoti selepas pasaran sambil mempelbagaikan dan mengembangkan portfolio produk.

“Daripada pengeluaran pelincir kepada pengecas EV, dana yang dikumpul akan menyokong visi kami untuk menghasilkan penyelesaian yang berkualiti tinggi kepada pelanggan dan pemegang saham selain menyumbang kepada pertumbuhan sektor automotif Malaysia,” katanya.

MSB Global ialah pengedar eksklusif alat ganti dan komponen automotif berjenama GSP di Malaysia, membekalkan rangkaian komprehensif produk selepas pasaran berkualiti tinggi.

Ini termasuk aci pemacu, pemasangan hab roda, bahagian penggantungan, rak stereng dan banyak lagi, memastikan ketahanan dan kebolehpercayaan untuk pelanggan.

Pada masa sama, Kumpulan telah mengembangkan jejaknya dalam segmen pelincir dan cecair automotif melalui jenama dalamannya, FK FUKUOKA dan ZR. ZURIC, menawarkan minyak enjin, cecair transmisi automotif, minyak gear, bendalir brek dan cecair automotif penting lain untuk memenuhi pelbagai keperluan pasaran.

M & A Securities Sdn Bhd. ialah Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan untuk IPO MSB Global. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *