Dr. Akmal, Pas akan hadir beri sokongan moral kepada Najib

Dr. Akmal, Pas akan hadir beri sokongan moral kepada Najib

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Akmal Saleh akan hadir bagi menyatakan solidariti kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin.

Menurut beliau, keputusan itu tidak bertentangan dengan pendirian parti yang tidak meneruskan penganjuran perhimpunan kepada Najib yang juga bekas Presiden UMNO berhubung isu Titah Adendum.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu, Pemuda menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan sebagai ahli parti, beliau akur dan menghormati kenyataan UMNO.

“Tetapi sebagai seorang individu, seperti kebiasaan sebelum ini, saya pun pergi memberikan sokongan moral kepada Najib di Mahkamah Jalan Duta.

“Maka, pada 6 Januari ini, saya akan hadir juga atas kapasiti saya sebagai seorang individu untuk memberikan sokongan moral kepada Najib.

“Parti minta untuk tidak berhimpun, tetapi parti tidak menghalang untuk tidak pergi menyatakan sokongan moral.

“Jadi bagi saya, ini tidak bertentangan dengan arahan parti. Jadi saya percaya juga ada ramai pemimpin UMNO akan hadir pada 6 Januari bagi memberikan sokongan moral,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.

Mengulas mengenai pendirian Pas yang menggalakkan ahlinya menyertai himpunan ‘Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’, Dr. Akmal berkata, pihaknya mengalu-alukan perkara itu jika niat parti Islam itu adalah murni.

“Tetapi jika ada niat lain, saya rasa cukup la kita tahu apa yang sudah berlaku.

“Yang paling penting sekali, tujuan utama pada 6 Januari ini adalah menyatakan sokongan kita kepada Najib.

“Jika Pas berpendirian sedemikian, saya serahkan kepada mereka… tiada masalah,” ujar beliau.

Pada masa sama, Muhamad Akmal memaklumkan UMNO melalui pihak keluarga Najib akan mengemukakan permohonan sekali lagi kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.

Tegas beliau, UMNO tidak akan sesekali menderhaka kepada titah Sultan atau mana-mana Raja dalam negara ini.

Istana Negara dalam kenyataan pada Jumaat berkata, cadangan supaya mana-mana banduan diberi keampunan atau pengurangan hukuman hendaklah dikemukakan oleh banduan terbabit untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.

Istana Negara memaklumkan kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Malam tadi, UMNO dalam kenyataan memaklumkan tidak akan meneruskan perhimpunan ‘Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’ pada 6 Januari.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, UMNO tidak akan sesekali membelakangi Perlembagaan dan tetap menghormati apa jua peraturan dan undang-undang yang ditetapkan sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan, parti itu tetap berpendirian untuk menggalakkan ahlinya menyertai himpunan ‘Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’.

Katanya, pendirian itu diambil walaupun selepas titah daripada Istana Negara mengenai kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, pada Jumaat.

Beliau berkata, parti itu menjunjung tinggi titah Istana Negara berhubung kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Pas juga akur dan turut mendukung segala proses serta tatacara yang diperuntukkan di bawah undang-undang berhubung perkara tersebut melalui Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda.

“Bagaimanapun, Pas mendapati kehadiran ke himpunan solidariti untuk Najib sekali-kali tidak menyanggah mahupun mengurangi makna dan tujuan titah tersebut, mahupun mana-mana peruntukan Perlembagaan atau mengganggu proses dan penjalanan Lembaga Pengampunan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, tema himpunan itu merupakan kehadiran secara aman rakyat merentas kaum dan fahaman ke suatu tempat awam di mahkamah terbuka.

Jelasnya, kehadiran itu sebagai tanda solidariti terhadap bekas Perdana Menteri pada saat penentuan di mahkamah dalam usaha beliau mendapatkan hak, keadilan dan perlindungan terbaik bawah undang-undang atas kepercayaan bahawa kuasa prerogatif yang sama telah memberikan kelonggaran tertentu ke atas hukuman yang dijalaninya, iaitu melalui dokumen yang dikenali sebagai “Titah Addendum”.

“Malangnya, timbul keraguan yang munasabah bahawa Titah Addendum yang terhasil dari kuasa prerogatif Institusi Yang di-Pertuan Agong, kelihatan dikhianati dan disembunyikan oleh pihak-pihak tertentu yang berkuasa sehingga menafikan hak dan kelonggaran yang diberikan.

“Ini memaksa Najib memohon kepada mahkamah melalui semakan kehakiman bagi suatu perintah agar Kerajaan mengesahkan kewujudannya dan seterusnya mengambil tindakan lanjut selaras dengannya,” ujarnya.

Justeru Takiyuddin berkata, himpunan solidariti itu bertujuan mempertahankan kuasa dan prerogatif Institusi Yang di-Pertuan Agong daripada manipulasi dan ketidaktelusan.

Ini katanya termasuk menyokong semua usaha sah Najib untuk mendapatkan keadilan di bawah undang-undang mengikut kuasa dan prerogatif yang sama.

“Dengan itu Pas tiada hasrat untuk menyemak kembali seruan yang telah dibuat berhubung kehadiran aman ahli-ahlinya pada hari, masa dan tempat yang dinyatakan,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *