KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menafikan ada memohon untuk menyertai Parti Bersatu, kata Setiausaha Agungnya, Zul Karnain Mat Junoh.
Kata beliau, dakwaan itu tidak benar sama sekali.
“Perkasa sebuah NGO Melayu yang bersuara apa sahaja kepentingan Islam dan Melayu yang diusik. Tidak pernah untuk menjadi kerajaan yang perlu sertai parti politik.
“Namun, Perkasa tidak nafikan sesetengan pemimpin kanan adalah ahli parti politik tertentu. Ada menjadi ahli kepada parti Putra, UMNO, Bersatu, Pas dan PKR serta Amanah.
“Itu tidak ada masalah. Yang menjadi ahli parti adalah individu bukan NGO Perkasa,” katanya.
Kata beliau, sebagai NGO politik, Perkasa sentiasa rapat dengan parti Melayu yang tidak bersama DAP.
Menurutnya, dahulu Perkasa ‘UMNO/BN friendly’ sebab UMNO tidak bersama DAP.
“Tapi sekarang Perkasa adalah ‘PN friendly’ kerana PN gabungan parti Melayu menentang DAP dan Perkasa secara jelas menjauh dari UMNO/BN berbanding 2015 sebelum tercetus isu 1MDB.
“Bila Perkasa sudah menjadi rakan kepada gabungan parti tertentu yang menentang DAP, maka Perkasa mahukan gabungan parti tersebut menjadi kerajaan dengan segera.
“Kerana Perkasa percaya mana-mana kerajaan yang ada DAP, di dalamnya kedudukan kepentingan Islam Melayu dan bumiputera akan terancam,” ujar beliau.
Jelas Zul Karnain, ini kerana DAP perjuangan Malaysian Malaysia, hak sama rata dan mahukan kebebasan memilih agama termasuk orang Melayu tidak boleh dinafikan.
Katanya lagi, Perkasa kekal sebagai NGO dan tidak akan menyertai mana-mana parti politik.
“Mana-mana gabungan parti politik yang menjuarai kepentingan Islam dan Melayu, Perkasa akan bersama mereka untuk matlamat perjuangan tercapai demi Islam, bahasa Melayu, Raja-Raja, Hak Istimewa Melayu, anak Negeri Sabah & Sarawak,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252