KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi memerintahkan bekas Perdana Menteri itu membela diri dalam kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Najib berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata anak guamnya turut berasa sangat kecewa dengan keputusan itu, namun akan bersiap bersedia dengan pembelaaan.
“Pertama, kami berasa amat kecewa, anak guam saya sangat kecewa kerana kami telah mengemukakan hujah-hujah yang kami harapkan akan diberi pertimbangan serius.
“Yang kedua, kami berasakan bahawa banyak bukti yang dipertimbangkan oleh hakim adalah berdasarkan keterangan dengar cakap. Ini mungkin salah satu atau mungkin satu-satunya kes di mana bukti berdasarkan keterangan dengar cakap diterima sepenuhnya,” katanya.
Beliau yang ditemui pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, hari ini, berkata pasukan pembelaan dan anak guamnya bagaimanapun menerima dan menghormati keputusan mahkamah dan akan bersiap sedia untuk proses bela diri.
“Saya sangat terkejut bahawa ini mungkin satu-satunya kes yang pernah saya hadapi di mana pada tahap ini saya tidak menang satu pun perkara,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Shafee berkata, bagi keterangan membela diri yang akan dijalankan 2 Disember ini, pihaknya akan memanggil sekurang-kurangnya 11 saksi.
“Namun mungkin lebih ramai saksi dipanggil sepanjang proses perbicaraan bela diri sepanjang 2025,” katanya turut memaklumkan Najib berada dalam keadaan baik dan sihat.
Terdahulu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membacakan penghakiman selama hampir dua jam bermula 9.25 pagi tadi.
Sequerah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap semua 25 tuduhan terhadap Najib yang juga Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika kesalahan itu didakwa dilakukan.
Ditanya mengenai permohonan maaf Najib sebelum ini, Muhammad Shafee berkata, ia kerana bencana 1MDB berlaku semasa pentadbiran kerajaan diketuai anak guamnya, bukan kerana bekas Perdana Menteri itu bersalah.
Katanya, permohonan maaf terbabit disalah erti ramai, termasuk pihak lawan, sedangkan ia tiada kaitan dengan prosiding hari ini.
“Jika anda ketua kerajaan dan perkara buruk berlaku di bawah pentadbiran anda, anda meminta maaf dan itulah yang sebenarnya beliau lakukan.
“Dia tidak meminta maaf untuk tujuan mendapatkan keputusan yang lebih baik di sini (mahkamah), cuma merasakan sudah tiba masanya dia meminta maaf semata-mata kerana ia berlaku semasa pentadbirannya,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252