Selangor fatwakan amalan, ajaran ahli GISBH menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar

Selangor fatwakan amalan, ajaran ahli GISBH menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar

SHAH ALAM – Fahaman, ajaran, pegangan atau amalan ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan rangkaiannya yang difatwakan menyeleweng dari ajaran Islam sebenar sudah diwartakan dan disiarkan dalam Warta Kerajaan Negeri Selangor, Rabu lalu.

Berdasarkan fatwa yang diwartakan itu, mana-mana orang Islam di Selangor dilarang dan dibatalkan untuk beramal, berpegang, menjadi pengikut, mengajar, menyebarkan, mengembangkan dan menyokong fahaman, ajaran, pegangan atau amalan GISBH dan rangkaiannya.

Larangan itu termasuk apa-apa fahaman, ajaran, pegangan atau amalan lain yang mempunyai persamaan dengan amalan GISBH yang telah diharamkan itu.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, selaras dengan pewartaan fatwa tersebut, masyarakat di negeri itu dinasihatkan supaya menghormati dan tidak melakukan tindakan yang bercanggah dengan fatwa diwartakan.

“Selaras dengan fatwa itu juga, mana-mana orang Islam yang sudah menyertai, mengamalkan atau berpegang kepada fahaman, ajaran, pegangan atau amalan ini hendaklah segera bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT.

“Pihak berkuasa yang berkaitan pula bertanggungjawab melaksanakan pemulihan kepada mereka,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, masyarakat Islam di negeri ini dinasihatkan untuk menghormati dan tidak melakukan tindakan bercanggah dengan fatwa diwartakan.

Katanya, mereka yang bertindak mengingkari, melanggar atau mempertikaikan fatwa diwartakan adalah melakukan kesalahan mengikut perenggan 12(c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

“Bagi melaksanakan tanggungjawab pemulihan seperti mana fatwa yang sudah diwartakan, MAIS bersama agensi kerajaan negeri termasuk semua agensi hal ehwal Islam Selangor merangka dan menggerakkan plan tindakan pemulihan kepada pengikut GISBH termasuk kanak-kanak dan dewasa.

“Pemulihan yang akan dilaksanakan merangkumi perlindungan, bimbingan, pemulihan akidah termasuk melalui proses Istitabah dan kaunseling,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, MAIS juga menyatakan sokongan padu program rehabilitasi secara sukarela yang ditawarkan kerajaan Malaysia kepada pengikut atau ahli GISBH dan rangkaiannya baru-baru ini.

“MAIS menegaskan program ini selaras dengan fatwa yang sudah diwartakan. Justeru, pengikut atau ahli GISBH dan rangkaiannya dialu-alukan hadir secara sukarela bagi tujuan pemulihan.

“Pada masa ini, MAIS dan agensi Islam di Selangor menyatakan komitmen untuk bekerjasama dan memberi bantuan dari aspek tenaga kerja, kewangan, fasiliti dan kemahiran sebagai sokongan terhadap program pemulihan yang dilaksanakan kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri.

“Bagi rujukan penuh berkaitan fatwa yang diwartakan ini boleh layari laman sesawang Jabatan Mufti Negeri Selangor di https://www.muftiselangor.gov.my/fatwa-selangor/,” katanya.

Sebelum ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa negeri bahawa pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH dan rangkaiannya adalah menyeleweng daripada akidah Islam sebenar.

Dalam kenyataan menerusi Facebook Selangor Royal Office memaklumkan hal ini kerana pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISB diyakini masih mengamalkan Aurad Muhammadiah atau Zikir Agung, dibawa oleh Kumpulan Darul Arqam yang diputuskan menyeleweng daripada akidah Islam sebenar menurut Warta No 54 yang disiarkan pada 4 Februari 1993.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *