KUALA LUMPUR – Malaysia masih berada dalam fasa peralihan monsun bermula sejak 24 September lalu dan dijangka berterusan sehingga awal bulan depan dan fenomena banjir yang melanda beberapa negeri mungkin disebabkan perkara itu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata pihaknya menjangkakan Monsun Timur Laut (MTL) tetap berlaku pada awal bulan depan berdasarkan faktor klimatologinya.
“Tarikh permulaan MTL tahun ini adalah pada awal November berdasarkan faktor klimatologinya dan tarikh permulaannya hanya diketahui selepas kriteria ditetapkan dipenuhi,” katanya ketika diminta mengulas fenomena hujan yang kerap melanda negeri utara kebelakangan ini.
Selasa lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Jabatan Pengairan Saliran (JPS) diarahkan mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan berdepan MTL yang dijangka bermula akhir bulan ini berbanding ramalan awal minggu pertama November terutama di kawasan banjir termenung.
Sehubungan itu, beliau dilaporkan berkata, kesiapsiagaan di pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat dipertingkatkan khususnya dalam mendepani risiko banjir besar di kawasan dikenal pasti.
Katanya, MTL lazimnya berlaku pada minggu pertama November tetapi disebabkan perubahan cuaca terdapat kemungkinan ia bermula lebih awal iaitu akhir bulan ini.
Mengulas lanjut, Mohd Hisham berkata, secara amnya jangkaan taburan hujan yang bakal diterima kebanyakan negeri sepanjang MTL hingga Mac depan masih dalam julat purata.
“Namun terdapat beberapa negeri dijangka menerima jumlah hujan di atas purata pada Disember ini membabitkan Perlis, Kedah, utara Perak, utara Kelantan dan utara Terengganu manakala bahagian Pantai Barat, Kudat dan Sandakan di Sabah dijangka menerima hujan di atas purata pada Disember hingga Februari depan,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan akan berlaku disebabkan luruan monsun dijangka dihadapi negara sepanjang MTL ini.
“Jadi, kehadiran luruan monsun ini akan sentiasa dipantau oleh METMalaysia dan amaran hujan lebat akan dikeluarkan apabila ia dijangka melanda negara dalam tempoh sehari hingga tiga hari sebelum ia berlaku,” katanya.
Katanya, perkara lazim berlaku semasa MTL adalah hujan lebat berterusan selama beberapa hari yang boleh mengakibatkan banjir besar khususnya di negeri Pantai Timur Semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah.
“Orang awam dinasihatkan lebih cakna mengenai keadaan cuaca khususnya amaran cuaca buruk dengan mendapatkan maklumat cuaca dari METMalaysia yang dikeluarkan menerusi laman web rasmi Jabatan (www.met.gov.my), aplikasi mudah alih myCuaca dan media sosial rasmi MET Malaysia (Facebook, Instagram, X dan Youtube) atau menghubungi talian Hotline 1-800-22-1638 untuk sebarang nasihat cuaca,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252