KUANTAN: Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota membuktikan rakyat menaruh kepercayaan kepada parti itu, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata, kemenangan itu juga memperlihatkan rakyat mahu parti berkenaan untuk terus memperjuangkan dalam mempertahankan nasib mereka.
“Saya lihat kemenangan ini juga membuktikan orang ramai sudah kembali memberi kepercayaan kepada BN untuk terus memperjuangkan agenda rakyat.
“Alhamdulillah, tahniah kepada Syed Hussien Syed Abdullah kerana memenangi PRK DUN Mahkota,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pada masa sama, Wan Rosdy berterima kasih kepada semua pengundi DUN Mahkota kerana terus memberi kepercayaan kepada BN untuk terus memimpin DUN itu demi kesejahteraan penduduknya.
“Tahniah dan terima kasih juga kepada seluruh jentera BN serta rakan daripada Pakatan Harapan yang terus berkempen sepanjang dua minggu bagi membantu kemenangan yang bermakna ini.
“Semoga Syed Hussien terus merendah diri dan berbaktilah kepada masyarakat di DUN Mahkota dengan penuh tanggungjawab dan Amanah,” katanya.
Pada PRK DUN Mahkota, Syed Hussien menang dengan majoriti 20,648 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar.
Secara keseluruhan, Ketua Pemuda UMNO Kluang itu memperoleh sebanyak 27,995 undi sementara Mohamad Haizan 7,347 undi.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252