Dharma masih tinggal di rumah sama

Dharma masih tinggal di rumah sama

KUALA LUMPUR – Pelakon veteran, Dharma Harun Al-Rashid dan anaknya masih menetap di rumah sewa yang sama di Wangsa Maju, di sini.

Anak bongsunya, Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 35, berkata, mereka masih belum berpindah kerana pemilik rumah itu masih belum dapat menjual rumah terbabit.

“Namun, pemilik rumah beritahu, selagi tiada pembeli, kami masih boleh menyewa rumahnya itu,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya kenapa tidak membantu bapanya mencari rumah sewa baharu, Muhammad Al Syafiq, berkata, dia sangat sibuk dengan pengajiannya di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

“Bukan tidak boleh bantu tetapi saya terlalu sibuk dengan pengajian dan kelas ketika ini. Pada masa sama, deposit dan kos untuk pindah rumah tinggi. Jadi, selagi boleh tinggal di rumah sewa ini, lebih baik kami sekeluarga tinggal di sini,” katanya.

Berkongsi keadaan kehidupannya sekarang, Muhammad Al Syafiq berkata, mereka sekeluarga masih sama seperti dahulu.

“Saya masih bekerja sambilan di kafe tepi jalan untuk membantu menampung perbelanjaan keluarga.

“Saya dan keluarga sangat berharap stesen TV AlHijrah atau Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) membantu mengadakan pertemuan bagi selesaikan masalah penjualan program agama terbitan produksi kami itu,” katanya.

Mengenai pengajiannya, Syafiq berkata, dia dapat tawaran untuk menyambung pengajian peringkat ijazah di ASWARA.

“Alhamdulillah, keputusan program asasi saya yang baru selesai bulan lalu baik. ASWARA tawarkan saya sambung ke peringkat ijazah.

“Selain kerja sambilan di kafe, saya juga berlakon untuk membantu ayah. Cuma, saya terpaksa minta pengarah kurangkan watak kerana kelas untuk program ijazah sangat berat,” katanya.

Bagaimanapun, Syafiq berharap jika ada penerbit dan pengarah yang boleh tawarkan ‘job’ lakonan kepada bapanya.

“Ayah saya ‘free’ (ada kelapangan) untuk berlakon atau menjadi deejay radio dan sebagainya ketika ini.

“Ayah masih boleh bawa watak sesuai dengan usianya dan tidak terlalu berat seperti babak aksi,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan mengenai keadaan Dharma yang juga bintang filem Adik Manja diasak kesukaran hidup bersama keluarga hingga gagal membayar sewa rumah tertunggak.

Namun, jalannya dipermudahkan apabila berita itu tular sekali gus mendapat perhatian beberapa organisasi seperti Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), pusat zakat dan Yayasan Budi.

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *