RIO DE JANEIRO – Penyerang Estevao Willian, pemain sensasi berusia 17 tahun diberi julukan ‘Messinho’, dipanggil ke dalam skuad Brazil buat kali pertama semalam oleh jurulatih Dorival Jr bagi aksi kelayakan Piala Dunia bulan depan ketika Neymar terus memulihkan diri daripada kecederaan.
Estevao, yang akan menyertai Chelsea tahun depan, akan bergandingan dengan bekas rakan sepasukan Palmeiras dan bintang baharu Real Madrid, Endrick.
Pemain remaja itu akan beraksi di samping Vinicius Jr, yang turut dipanggil bagi membentuk barisan hadapan jitu.
“Saya sering mempertaruhkan pemain muda sepanjang karier saya. Dia seorang pemain yang sedang meningkat dan mempamerkan banyak kehebatan. Terpulang kepada kami untuk percaya. Saya minta supaya anda bersabar dengan pemain remaja. Begitu juga kesnya dengan Endrick,” kata Dorival pada sidang media.
Neymar tidak disenaraikan dalam skuad kerana dia masih memulihkan diri daripada kecederaan ACL dan meniscus di lutut kirinya. Penyerang itu yang menjalani pembedahan, turut terlepas aksi Copa America.
“Tidak perlu komen. Setiap orang tahu betapa pentingnya dia (Neymar). Tetapi setiap perkara berlaku pada masa tepat dan di tempat yang tepat. Saya tidak ragu-ragu, sebaik dia pulih, dia akan disenaraikan semula,” jelas Dorival.
Pengurus berusia 62 tahun itu, yang mengambil alih Januari lalu, mengetepikan pemain sayap Barcelona, Raphinha dan pemain tengah Manchester United, Casemiro.
Brazil, di tangga keenam kelayakan zon Amerika Selatan dengan hanya tujuh mata, akan melayan kunjungan Ecuador di Curitiba pada 6 September sebelum berdepan Paraguay empat hari kemudian di Asuncion. – REUTERS
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252
