KUALA LUMPUR – Polis mengambil langkah serius mengesan pesalah buli siber yang dianggap mengancam keselamatan individu lain secara dalam talian (online).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan mereka yang melakukan buli siber ini boleh mengakibatkan berlakunya ancaman dan bahaya sehingga wujud perlakuan jenayah terhadap mangsa serangan siber mereka.
Katanya, mungkin ada yang beranggapan buli siber ini sebagai satu perkara yang remeh atau kecil, namun sebenarnya impak atau kesannya boleh mendatangkan ancaman kepada setiap mangsa buli siber.
“Elemen buli siber turut dikesan dalam kes pembunuhan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini terutamanya dalam menghukumi ahli keluarga sama ada mangsa mahu pun suspek.
“Elemen buli siber ini ada dalam bermacam-macam bentuk dan konteks seperti menghina, mengutuk, mencaci dan mengugut terhadap waris ahli keluarga yang terbabit dalam kes pembunuhan Nurfarah Kartini Abdullah, sehingga menimbulkan persepsi yang tidak benar,” katanya kepada BH hari ini.
Beliau mengulas mengenai kejadian yang menimpa pempengaruh popular aplikasi TikTok, Rajeswary Appahu atau Esha, yang ditemui mati pada 5 Julai lalu, sehari selepas membuat laporan ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya.
Razaruddin berkata, jelas sekali ada segelintir masyarakat berterus-terusan menggunakan media sosial menyalahkan suspek ataupun mangsa padahal siasatan masih dilakukan.
“Ini seolah-olah dia (pembuli siber) tahu segala hujung pangkal senario kejadian serta kononnya sangat tahu mengenai suspek dan juga mangsa.
“Cuba bayangkan apa bakal berlaku kepada orang terdekat dengan suspek atau mangsa ini mengenai komen-komen atau kenyataan yang berbentuk provokasi ini akibat daripada maklumat tidak benar atau tidak sahih. Inilah buli siber,” katanya
Beliau menegaskan tidak mahu ada lagi kejadian buli siber sehingga berakhir dengan kematian disebabkan fitnah dan ugutan oleh pembuli siber ini yang mengeluarkan kata-kata ugutan, ancaman termasuk menyebarkan maklumat tidak benar.
“Ini bukan main-main, ini menyentuh emosi diri setiap mangsa yang mungkin menjurus ke arah pelakuan yang tidak selamat.
“Justeru, PDRM menerusi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) sentiasa bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Komunikasi dalam meneliti dan mengkaji langkah-langkah dan tindakan yang lebih tegas dalam memerangi unsur buli siber ini,” katanya.
Beliau berkata, PDRM dan Kementerian Komunikasi sudah membentuk satu jawatankuasa yang diberi tanggungjawab meneliti aspek perundangan yang bakal dicadangkan pada masa akan datang.
Justeru, Razarudin turut menyeru orang ramai yang menjadi mangsa atau mempunyai apa juga maklumat berhubung kejadian buli siber untuk segera bertindak melaporkan kepada pihak polis.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252