Bab 6
CATATAN Ibn Battutah telah menjelaskan, agama Islam telah sampai dan bertapak di Kepulauan Melayu dengan adanya sebuah kerajaan Islam di Pulau Sumatera, iaitu Samudera-Pasai.
Rajanya sangat patuh kepada Islam dan mengamalkan Mazhab Syafi’e serta menjadikan istana sebagai pusat penyebaran Islam. Dengan itu, peranan para pendakwah dari serata dunia termasuk Arab dan India, adalah sangat penting sebagai pencetus perkembangan Islam di Kepulauan Melayu.
Kerajaan-kerajaan Melayu, yang diperintah oleh raja-raja yang telah memeluk Islam, menjadi pemangkin kepada penyebaran Islam oleh para pendakwah itu. Dengan kesedaran raja-raja ini, para ulama telah diterima untuk menyebarkan dakwah Islamiah.
Ada antara ulama itu dinikahkan dengan puteri-puteri mereka sebagai tanda keikhlasan perjuangan dan kesungguhan mereka terhadap penyebaran Islam di kerajaan masing-masing.
Dengan itu, dalam pemerintahan kerajaan-kerajaan Melayu itu, terdapat percampuran keturunan Arab yang melahirkan golongan sayid dan syeikh seperti yang terdapat dalam kerajaan-kerajaan awal di Kepulauan Melayu. Malah, ada yang kekal sehingga hari ini.
Kepentingan ketokohan Sayid Hussin Jamadil Kubro (1310-1453)
Sayid Hussin Jamadil Kubro ialah pencetus kepada penyebaran Islam gelombang pertama melalui dakwah dan perkahwinannya dengan puteri-puteri raja di Kepulauan Melayu atau Alam Melayu. Melalui keturunannya itu, Islam telah tersebar dengan meluas dan melahirkan para ulama yang tersohor di Alam Melayu ini.
Walaupun banyak kerajaan Melayu itu telah lenyap dalam lipatan sejarah, namun keturunan Sayid Hussin Jamadil Kubro dan peranan mereka sebagai penyebar agama Islam sehingga kini tetap berterusan.
Oleh itu, nama Sayid Hussin Jamadil Kubro ini ialah nama yang sangat penting bukan sahaja sebagai pendakwah Islam, tetapi juga sebagai pemangkin dan pencantum keturunan raja dan ulama di Alam Melayu ini. Malah, yang paling penting ialah beliau adalah jurai keturunan Nabi Muhammad SAW, yang telah berkembang di seluruh Kepulauan Melayu, termasuk Malaysia. Islam dan Melayu menjadi gah kerana sumbangan langsung Sayid Hussin Jamadil Kubro ini.
Beliau berasal dari keturunan Sayid al-Alawiyah yang merupakan bangsa Arab yang termulia di Makkah dan Hadhramaut. Beliau ialah tokoh yang sering disebut namanya ketika membicarakan perihal keturunan Tengku, Nik dan Wan di Kepulauan Melayu.
Salasilah beliau ialah Sayid Hussin Jamaluddin Akbar Jamadil Kubro bin Sayid Ahmad Shah Jalal al-Khan bin Sayid Abdullah Khan bin Sayid Abdul Malik al- Ali Khali’ Qasam bin Sayid Alawi bin Sayid Muhammad bin Sayid Alawi bin Sayid Ubaidillah bin Sayid Ahmad al-Muhajir bin Sayid Isa al-Rumi bin Sayid Muhammad al-Naqib bin Sayid Ali al-Uraidhi bin Imam Ali Zainul Abidin bin Sayidina Hussain bin Sayidah Fatimah al-Zahra binti Sayidina Muhammad Rasulullah.
Ada sesetengah penulis yang menyebut Sayid Hussin Jamadil Kubro dengan nama Syeikh Jamaludin al-Husaini atau Maulana Hussin. Ayahanda beliau Sayid Ahmad Shah dikatakan mantan Gabenor pemerintahan Kesultanan Delhi Ghiayathuddin Muhammad Syah II iaitu Sultan Muhammad Tughluq. Maulana ini dilahirkan pada tahun 1310 di negeri Malabar, sebuah negeri dalam Empayar Kesultanan Delhi.
Sayid Hussin Jamadil Kubro mempunyai 14 adik beradik yang cukup tersohor dan terkenal di Pattani, Jawa dan Samudera-Pasai, iaitu; Sayid Jamaludin al-Hussin, Sayid Muhyiddin Syah, Sayid Alaudin, Sayid Amir Syah Jallal, Sayid Alwi Kutub Khan, Sayid Hasanudin, Sayid Qadir Binahsan, Sayid Ali Azamat Syihabudin Umar Khan, Sayid Sheikh Mohamad Arifin Syah atau Tok Kelumpang Al-Jarimi Al-Fatani, Sayid Syeikh Mohamad Saman Syah Al-Fhatani atau Sheikh Thanaudin Al-Fhatani atau Dato’ Adi Putra, Sayid Nik Al-Fatani, Syariff Qamaruddin, Sayid Majduddin dan Sultan Sulaiman al-Bahgdad.
Sebagaimana yang telah diketahui, takdir telah menentukan keturunan Nabi Muhammad SAW telah dizalimi dan dibunuh sehingga mereka terpaksa berhijrah keluar dari Makkah dan Madinah. Ini berdasarkan hadis Ibnu Mas’ud (daripada Abdullah bin Mas’ud) yang bermaksud:
“Ketika kami berada di sisi Rasulullah SAW tiba-tiba datang sekumpulan anak muda dari kalangan Bani Hasyim. Apabila terpandang akan mereka, maka kedua mata Rasulullah SAW berlinang air mata dan wajah Baginda berubah. Aku pun bertanya, “mengapa kami melihat pada wajah mu sesuatu yang tidak kami suka?” Baginda menjawab, “Kami Ahlul Bait telah Allah SWT pilih untuk kami akhirat lebih dari dunia. Kaum kerabat ku akan menerima bencana dan penyingkiran selepasku kelak sehinggalah datang suatu kaum dari sebelah Timur dengan membawa bersama-sama mereka panji-panji berwarna hitam. Mereka meminta kebaikan, tetapi tidak diberikannya. Maka mereka pun berjuang dan beroleh kejayaan lalu diberikanlah apa yang mereka minta itu, tetapi mereka tidak menerima sehinggalah mereka menyerahkannya kepada seorang lelaki daripada kaum kerabatku yang memenuhi bumi dengan keadilan sebagai mana ia dipenuhi dengan kedurjanaan. Siapa antara kamu yang sempat menemuinya maka datangilah mereka walaupun merangkak di atas salji. Sesungguhnya dia adalah Al-Mahdi”.
Ada antara mereka yang telah berhijrah ke Baghdad. Apabila Mongol atau orang Tartar menyerang Baghdad, ramai juga yang berhijrah ke India, termasuklah Sayid Ahmad Syah Jalal yang kemudian menjadi Menteri Kesultanan Delhi di bawah Sultan Muhammad Tughluq (1325-1351).
Seorang daripada puteranya yang bernama Sayid Hussin Jamadil Kubro telah mengembara ke Campa. Pada pertengahan kurun ke-14, kerajaan campa telah dikalahkan oleh orang Viet. Ini menyebabkan Sayid Hussin Jamadil Kubro berpindah bersama-sama tiga saudaranya iaitu Syarif Qamaruddin, Sayid Majduddin dan Sayid Thanauddin ke sebelah selatan bagi mengembangkan dakwah Islam.
Mereka telah pergi ke Kesultanan Samudera-Pasai di Sumatera Utara yang ketika itu sedang berkembang sebagai pusat penyebaran Islam yang penting. Kerajaan itu terletak di bawah pemerintahan Sultan Malik Al-Zahir II yang masyhur dengan corak pemerintahan mementingkan syiar Islam. Baginda ialah sultan yang mendapat kunjungan Ibn Battuta, seorang pengembara Islam yang terkenal iaitu pada tahun 1345 dan 1346.
Kedatangan Sayid Hussin Jamadil Kubro ke Kelantan
Empayar Cermin diwujudkan pada tahun 1339 yang meliputi utara Semenanjung Tanah Melayu, Campa, Samudera-Pasai dan berpusat di Langkasuka di Pattani. Empayar Cermin diwujudkan oleh Raja Bharubhasa yang diIslamkan oleh seorang ulama Pasai. Baginda yang sememangnya menginginkan kesinambungan gagasan “Pamalayu Kartanegara” yang menguasai seluruh Asia Tenggara, lalu mengambil inisiatif mewujudkan Empayar Cermin.
Raja Bharubhasa mempunyai pertalian kekeluargaan dengan al-marhum Sultan Malik as-Zahir, Sultan Samudera-Pasai kerana adinda baginda yang bernama Puteri Chendana atau Chandana ialah permaisuri Sultan Samudera Pasai yang warak itu.
Raja Bharubhasa telah bergabung dengan Patih Gajah Mada dari kerajaan Majapahit untuk membina empayar besar menggantikan kuasa Srivijaya. Pada tahun 1357, Patih Gajah Mada dan Raja Bharubhasa telah berjaya menewaskan Siam, lalu mengisytiharkan Kota Jiddah di Kelantan sebagai ibu kota empayar Majapahit Barat, sementara kepulauan Jawa menjadi Majapahit Timur.
Kerjasama politik antara Raja Bharubhasa dan Patih Gajah Mada (Majapahit Barat) itu telah menyebabkan suasana pemerintahan Melayu menjadi lebih mesra untuk penyebaran dakwah Islam.
Sayid Hussin Jamadil Kubro dikhabarkan tiba di Kota Jiddah, Empayar Cermin pada sekitar tahun 1350-an bersama adindanya Sayid Thanauddin dan lima lagi saudaranya. Kedatangan mereka disambut dengan mesra dan beradat oleh kerajaan di bawah pimpinan Raja Bharubhasa, memandangkan mereka merupakan waris bangsawan dari Kesultanan Delhi dan pernah menjadi tetamu Istimewa kepada Kesultanan Samudera-Pasai tidak berapa lama sebelum itu.
Sayid Hussin Jamadil Kubro merupakan abang yang sulung dan kerana itulah keturunannya diberi dengan pangkat nama “Long” pada eranya yang bererti “Sulung” atau anak yang sulung.
Mereka juga dikenali dengan nama “Wali Tujuh” dalam kalangan masyarakat Kelantan dan juga Kepulauan Melayu. Sayid Hussin Jamadil Kubro menetap agak lama di Kelantan sebelum meneruskan misi dakwah di Jawa (Samudera-Pasai). Bukit Panau di Tanah Merah, Kelantan merupakan tempat beliau dan saudara-saudaranya berkumpul sebelum ke Pulau Jawa.
Mereka membuat penempatan di Bukit Panau. Pada zaman dahulu kala, Bukit Panau merupakan landmark bagi pelaut antarabangsa kerana bentuknya yang unik seperti pyramid itu dapat dilihat dari laut ketika berada di perairan Laut China Selatan.
Pada masa itu, Bukit Panau boleh didatangi melalui Sungai Kelantan yang mengalir di sebelahnya. Kapal-kapal mudah sahaja melalui Sungai Kelantan yang luas itu. Dengan itu, Bukit Panau menjadi sangat terkenal dan makmur. Penyebaran Islam juga dapat dilakukan dengan baik oleh para pendakwah yang diketuai oleh Sayid Hussin Jamadil Kubro.
Adindanya, Syeikh Thanauddin juga terkenal sebagai seorang ulama yang tersohor. Beliau juga disebut sebagai Pateh Aria Gajah. Nama lain yang merujuk beliau ialah Sayid Muhammad Saman atau Panglima Hitam. Beliau disebut sebagai ulama pertama yang sampai di Pulau Besar, Melaka.
Menurut Sejarah Melayu/Sulat al-Salatin, di situlah Hang Tuah, hulubalang Melaka lima bersaudara yang tersohor itu berguru dengannya. Kemahirannya sebagai pendekar yang kaya dengan ilmu pancak silat, telah menyebabkan ramai orang berguru kepadanya. Sayid Thanauddin dikatakan berada di Pulau Besar sebelum kedatangan rombongan Sultanul Ariffin Syeikh Ismail, yang merupakan cicit kepada Sultanul Awliya’ Syeikh Abdul Qadir Jilani dari titisan Sayidina Hassan ra. – NasionalDaily
BERSAMBUNG