BERITA UTAMA
Kehadiran ATM di Timur Sabah tingkat keyakinan, rancak ekonomi

Kehadiran ATM di Timur Sabah tingkat keyakinan, rancak ekonomi

SANDAKAN – Kehadiran pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Timur Sabah meningkatkan keyakinan masyarakat setempat serta merancakkan lagi pembangunan sektor pelancongan, ekonomi dan sosial di kawasan itu.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan di sini pada Ahad memberitahu kehadiran pasukan di tiga kawasan lapisan berpadu merangkumi daratan, lautan serta udara itu, satu strategi cegah rintang berpadu bagi melindungi kepentingan negara daripada sebarang ancaman anasir luar.

“Perkara ini selaras dengan Tonggak Pertama Strategi Pertahanan Negara dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP) 2020-2030,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama delegasi Kementerian Pertahanan mengadakan lawatan kerja ke kawasan tanggungjawab (KTJ) Operasi Padanan dan Sipadan Island Resort (Op PASIR) Sektor Bravo di Pulau Berhala di sini pada Ahad.

Mohamed Khaled menerima taklimat daripada Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) Brig Jen Wan Edenin Wan Mahsin mengenai tahap pengoperasian Op PASIR yang dilaksanakan sejak 2002 bagi melindungi kedaulatan dan keutuhan Timur Sabah daripada sebarang bentuk ancaman pencerobohan serta konflik.

“Mohamed Khaled juga meninjau kesiagaan pasukan ATM di sekitar kawasan operasi termasuk bertemu pegawai dan anggota yang ditempatkan di sekitar Sandakan,” menurut kenyataan itu.

Beliau turut menyerahkan sumbangan kepada Wan Edenin iaitu pembelian peralatan sukan dan rekreasi bernilai RM10,000 daripada Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) bagi kegunaan anggota beroperasi dalam Op PASIR.

Kenyataan itu menjelaskan sumbangan berkenaan sebagai menzahirkan keprihatinan Kementerian Pertahanan dan kerajaan dalam menjaga kebajikan serta moral anggota ATM yang melaksanakan operasi berada pada tahap yang tinggi. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *