GUANGDONG – Seorang wanita dan bapa mentuanya ditahan selepas seorang budak lelaki berusia 10 tahun yang disyaki mencuri, diikat pada tiang utiliti dan disebat oleh orang kampung.
Dalam video yang tular di laman media sosial China, Weibo dan ditonton lebih daripada 1.89 juta orang itu menunjukkan belakang badan kanak-kanak terbabit berbirat tanda merah yang panjang.
Menurut akaun Weibo Btime, atau ‘shi jian shi pin’, kejadian berlaku di kampung Wuliang di wilayah Guangdong pada 1 Mei lalu.
Budak lelaki itu disyaki mencuri 650 yuan (RM421.50) sebelum penduduk kampung mengikat dan memukulnya dengan kabel elektrik.
Kanak-kanak lelaki itu dipercayai dijaga oleh datuknya dan mempunyai sejarah tabiat mencuri barang.
Dia dibawa ke hospital oleh bapanya dan hanya mengalami kecederaan ringan.
Seorang wanita, yang dipercayai antara penyerang kanak-kanak itu, ditahan selama 15 hari, manakala bapa mentuanya ditahan selama 10 hari.
Di Weibo, beberapa pengguna mengecam tindakan mereka kerana menghukum mangsa tanpa bukti.
Kata seorang pengguna: “Mereka menjadi ganas berdasarkan syak wasangka.
“Jika kanak-kanak itu benar-benar bersalah, hubungi polis dan biarkan polis uruskan, orang kampung tidak sepatutnya menyeksa budak itu,” katanya. – AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252