BALING – Kejadian seorang wanita warga emas maut dihempap pokok kekabu tumbang di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai, di sini, hari ini, berlaku ketika hujan lebat dan angin kencang.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat, berkata cuaca buruk itu melanda kira-kira jam 3 petang dan berterusan selama 40 minit.
Katanya, Balai Polis Kupang menerima maklumat berhubung insiden menimpa mangsa, Rafiah Zakaria, 84, pada jam 3.45 petang.
Susulan itu, beliau berkata, pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling serta Kementerian Kesihatan (KKM) telah bergegas ke lokasi.
“Sebaik saja pasukan BBP Baling tiba di lokasi kejadian pada jam 4.10 petang, anggota melakukan pemotongan pokok terbabit dalam usaha untuk mengeluarkan mangsa.
“Selepas melakukan pemeriksaan, pegawai KKM mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Shamsudin berkata, operasi itu disertai 21 anggota dari pelbagai agensi, selain turut dibantu orang awam.
Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kulim, menggunakan trak polis pada jam 4.50 petang untuk tindakan lanjut, dengan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – Berita Harian
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!