KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menjangkakan projek naik taraf dan baik pulih hampir 50 hentian bas di bandar ini, siap bulan depan.
MPKB-BRI menerusi Facebook memaklumkan, peruntukan projek berkenaan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), selain menggunakan peruntukan tahunan MPKB-BRI.
Katanya, ia dilaksanakan selaras dengan usaha pengindahan bandar bersama Jabatan Landskap Negara (JLN).
“Perbincangan awal sudah diadakan bersama MyBus dan Konsortium E-Mutiara, yang memberikan kerjasama serta maklum balas positif berhubung projek itu.
“Status pemilikan hentian bas di sekitar Kota Bharu adalah berbeza, membabitkan aset MPKB-BRI, milik persendirian dan sumbangan pihak tertentu. Sebahagian hentian bas lama tidak lagi berada pada laluan atau lokasi rasmi.
“Pemilihan lokasi berdasarkan keselamatan, kesesuaian dan keperluan pengguna. Penambahbaikan turut mengambil kira hentian bas bukan milik MPKB-BRI,” katanya.
Terdahulu, kumpulan sukarelawan yang dikenali sebagai Hiyaz Community meluahkan rasa kesal apabila hentian bas yang baru dicat dan dibersihkan bagi berdepan musim tengkujuh, didakwa dirobohkan.
Hiyaz Community turut mempersoalkan tindakan merobohkan hentian terbabit ketika musim hujan, terutama selepas pihaknya meluangkan masa dan tenaga secara sukarela untuk menceriakan kemudahan itu.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Sementara itu, mengulas isu Hiyaz Community, MPKB-BRI berkata, pihaknya sudah menghubungi komuniti itu pada 26 Oktober lalu, sebelum projek itu bermula, bagi memaklumkan perancangan naik taraf berkenaan.
Katanya, pelawaan untuk berbincang dan bekerjasama turut dikemukakan, namun tiada maklum balas diterima sehingga kenyataan itu dikeluarkan.
“MPKB-BRI kesal terhadap hantaran media sosial yang menimbulkan salah faham dan persepsi negatif.
“Kita terbuka menerima teguran, aduan dan cadangan masyarakat serta mengalu-alukan kerjasama individu, komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Bagaimanapun, kita mengutamakan fakta serta pengesahan sebelum penyebaran maklumat dan menolak penyebaran maklumat tidak tepat yang mengelirukan masyarakat,” katanya.
Menurutnya, MPKB-BRI turut memberi komitmen untuk meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna pengangkutan awam serta menambah baik kemudahan awam secara berperingkat berdasarkan kemampuan peruntukan.
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
