Oleh: Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof
BELANJAWAN 2027 – “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” – membawa mesej yang jelas: cita-cita membina ekonomi bernilai tinggi mesti berakar pada kehidupan rakyat.
Belanjawan ini diikat melalui Wa’ad Nasional sebagai Kontrak Perjanjian Watan antara negara dan rakyat berasaskan kepada asas membina masa depan melalui akhlak kepimpinan yang amanah dan bertanggungjawab.
Bagi rakyat maksudnya mudah, seorang ketua keluarga mesti merasai kemajuan ekonomi dengan menikmati hidangan di meja makan bersama keluarga. Merasai kocek berisi di pendapatan hujung bulan, peluang pekerjaan bagi anak-anaknya yang melepasi pendidikan berkualiti dan bagi dirinya menikmati rawatan yang baik semasa ditimpa penyakit.
Alhamdulillah, keperluan pendidikan dan kesihatan kekal sebagai habuan terbesar dalam bajet 2027, manakala keperluan sara hidup terus meningkat untuk meringankan beban rakyat.
Peruntukan hampir RM69 bilion untuk pendidikan, RM19.1 bilion untuk pendidikan tinggi dan RM47.7 bilion untuk kesihatan menunjukkan pelaburan besar terhadap masa depan dan kesejahteraan rakyat.
Peningkatan peruntukan STR dan SARA kepada RM16 bilion, dengan SARA sehingga RM150 sebulan bagi penerima STR, merupakan langkah langsung untuk membantu perbelanjaan keperluan asas. Ini merupakan satu lagi manifestasi mengakar ke bumi.
Saya juga melihat pengumuman menaikkan ambang kebankrapan daripada RM100,000 kepada RM150,000 mulai 2027, serta memperluas Dasar Peluang Kedua Prihatin, sebagai pembaharuan penting.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Ini memberi ruang kepada rakyat yang menghadapi kesulitan kewangan untuk membina semula kehidupan, termasuk penjaga ahli keluarga yang memerlukan penjagaan dan pekerja berpendapatan tidak tetap.
Dalam sektor kesihatan, pengumuman penyerapan lebih 9,000 doktor kontrak ke jawatan tetap merupakan langkah penting memperkukuh tenaga kerja kesihatan. Kepastian kerjaya doktor perlu diterjemahkan kepada kesinambungan rawatan dan perkhidmatan yang lebih baik untuk pesakit.
Bajet ini memaknai akar umbi yang membina negara ini dengan meringankan beban, memberikan peluang kedua dan memperbaiki sistem yang digunakan rakyat setiap hari. Pelaksanaannya mesti cepat, telus dan mudah diakses oleh rakyat.
Konsep “Menggapai di Langit” mencerminkan cita-cita Malaysia untuk memperbesar ekonomi dan memperkukuh kedudukan di pentas dunia.
Syabas kepada Kerajaan Madani kerana berjaya memacu ekonomi yang berkembang 5.7 peratus pada separuh pertama 2026, dengan unjuran pertumbuhan tahun ini dinaikkan kepada asal jangkaan 4.8 ke 5.3 peratus.
Ini memberikan asas yang lebih kukuh untuk negara melangkah ke tahun 2027 dengan lonjakan lebih meyakinkan.
Peluasan pelaburan minyak dan gas PETRONAS di Turkmenistan, melalui perjanjian baharu bagi Blok 19 dan 20, menjadi contoh bagaimana kepakaran syarikat negara dan hubungan diplomatik membuka peluang ekonomi antarabangsa.
Kejayaan memperoleh peluang ini perlu diterjemahkan kepada nilai dan pulangan jangka panjang untuk negara.
Bagi saya, menggapai di langit mesti mengakar di bumi: pertumbuhan dan kejayaan pelaburan perlu membuka pekerjaan bermutu, meningkatkan pendapatan serta memperkukuh kemampuan negara menyediakan pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial. Rakyat mesti menikmati hasil daripada cita-cita besar negara.
Pembentangan telah berakhir, semoga perlaksanaannya benar-benar mengakar ke bumi dan kejayaan ekonomi negara terus menggapai ke langit. Tahniah dan Syabas Kerajaan Madani.
Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa ialah Timbalan Presiden Parti Amanah
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
