KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas tiba-tiba tidak sedarkan diri ketika berada di kediamannya pada pagi semalam.
Wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu kemudian memaklumkan beliau masih berada di HKL bagi menjalani pemeriksaan dan rawatan kecemasan, termasuk pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer bagi menilai keadaan kesihatannya.
Menerusi hantaran di media sosial, Wan Ahmad Fayhsal berkata, kejadian berlaku ketika beliau sedang membantu menyiapkan latihan kerja sekolah anaknya pada awal pagi.
Menurutnya, beliau tiba-tiba tidak sedarkan diri dan keadaan itu berlarutan sehingga kira-kira jam 6 petang sebelum mendapatkan rawatan di hospital.
“Pada awal pagi tadi ketika saya sedang siapkan latihan kerja sekolah anak, tiba-tiba saya tidak sedarkan diri sama sekali sampailah jam 6 petang.
“Saya kini berada di HKL untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan mengejut (kecemasan). Insya-Allah, saya akan melalui ujian CT Scan,” katanya.
Beliau pada masa sama mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat dan mendoakan keselamatannya.
Perkembangan itu sebelum ini dimaklumkan oleh Pejabat Ahli Parlimen Machang yang mengesahkan Wan Ahmad Fayhsal dimasukkan ke HKL untuk menerima rawatan lanjut dan berada dalam keadaan stabil.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Setiausaha Sulitnya, Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsudin berkata, doktor turut menasihatkan Wan Ahmad Fayhsal supaya berehat sehingga pulih sepenuhnya.
Perkembangan terbaharu yang dikongsikan Wan Ahmad Fayhsal sendiri memberikan sedikit gambaran mengenai apa yang berlaku apabila beliau menjelaskan bahawa dirinya tidak sedarkan diri dalam tempoh panjang sebelum mendapatkan rawatan di HKL.
Keadaan itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menitipkan doa agar Wan Ahmad Fayhsal segera diberikan kesembuhan.
“Salam saudara, saya doakan supaya saudara lekas sembuh dan diberikan afiyah,” kata Anwar menerusi hantaran di media sosial.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
