KUALA TERENGGANU – Penglibatan pemain industri dalam Festival STEM Terengganu 2026 memberi peluang kepada pengunjung, khususnya golongan muda, melihat dengan lebih dekat bagaimana bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) digunakan dalam dunia pekerjaan.
Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) yang menganjurkan festival tiga hari itu turut membuka ruang kepada sektor industri berkongsi pengetahuan dan teknologi dengan masyarakat menerusi pelbagai aktiviti sepanjang program berkenaan.
Antara yang terlibat ialah Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), yang sejak 2023 menjadi rakan strategik PSKT dalam program pendidikan STEM, termasuk membawa pendedahan berkaitan teknologi sektor minyak dan gas kepada pengunjung.
Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim, berkata penglibatan pemain industri memberi nilai tambah kepada usaha memperkenalkan bidang STEM kepada generasi muda, terutama dari sudut pendidikan dan peluang kerjaya.
“Kerjasama dengan pemain industri amat penting kerana ia membuka pintu kepada generasi muda untuk meneroka peluang, khususnya dalam membentuk kerjaya masa depan.
“Pada masa sama, industri turut melihat generasi baharu ini sebagai pelapis tenaga kerja yang mampu memenuhi penanda aras tinggi Revolusi Industri 4.0,” katanya.
Menurutnya, pendekatan itu membolehkan pengunjung melihat sendiri kaitan antara apa yang dipelajari dalam bidang STEM dengan penggunaan teknologi dalam sektor industri, sekali gus memberi gambaran lebih dekat mengenai laluan kerjaya yang boleh diceburi.
Festival STEM Terengganu 2026 yang berlangsung dari 28 hingga 30 Ogos lalu turut menampilkan lebih 10 aktiviti sampingan, antaranya larian santai Luminite Walk, Terengganu Push Bike Cup dan pertandingan robotik yang disertai keluarga serta peserta muda daripada pelbagai peringkat usia.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
