Oleh: Manzaidi Mohd Amin
EMPAT puluh tahun lebih saya hidup dengan berita.
Saya pernah duduk di meja wartawan dengan kertas dan pena. Pernah mengejar berita dengan buku nota di tangan. Pernah berkejar ke lokasi kejadian. Pernah mengejar orang politik untuk mendapatkan kenyataan. Pernah menunggu sumber berjam-jam. Pernah dimarahi editor kerana berita lambat. Pernah pula dimarahi kerana satu perkataan yang dianggap tidak tepat.
Itulah sekolah kewartawanan saya. Tidak ada Google yang boleh dicapai dengan satu klik. Tidak ada telefon pintar yang boleh merakam video, mengambil gambar, menaip berita dan menghantarnya terus ke meja berita.
Tidak ada kecerdasan buatan (AI) yang boleh membantu menyusun ayat, tetapi ada satu perkara yang saya rasa semakin hilang dalam sebahagian dunia kewartawanan hari ini, iaitu rasa hormat terhadap bahasa.
Inilah yang membuatkan saya benar-benar kecewa. Saya bukan mahu berlagak sebagai wartawan veteran yang merasakan generasi saya sentiasa betul. Tidak.
Saya juga pernah melakukan kesalahan. Pernah ditegur. Pernah menulis ayat yang kemudiannya dicoret merah oleh penyunting, tetapi apabila ditegur, saya belajar.
Hari ini, saya melihat kesalahan yang sama bukan sahaja berlaku sekali, malah berulang-ulang. Lebih buruk, ada kesalahan yang akhirnya dianggap betul hanya kerana terlalu banyak media menggunakannya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Ini bukan lagi soal satu perkataan. Ini soal budaya. Budaya malas menyemak. Budaya “asal orang faham”. Budaya “media lain pun tulis begitu”. Budaya mengejar klik sehingga bahasa dibuang ke belakang, dan paling saya khuatir, budaya tidak lagi malu melakukan kesalahan.
Saya selalu berpegang pada satu perkara ketika menjadi wartawan: kalau tidak pasti, semak. Tidak tahu ejaan, buka kamus. Tidak pasti istilah, cari rujukan. Tidak pasti angka, telefon sumber. Tidak pasti nama, tanya semula. Tidak pasti jawatan, semak. Tetapi sekarang, saya melihat ada kecenderungan untuk menulis berdasarkan apa yang “rasa macam betul”.
Dalam kewartawanan, “rasa macam betul” tidak cukup. Wartawan mesti tahu. Kalau tidak tahu, cari tahu. Kalau ragu-ragu, semak. Kalau salah, betulkan. Itulah asasnya. Tetapi, asas inilah yang sedang dilupakan. Pelancaran tiba-tiba menjadi peluncuran.
Saya beri satu contoh mudah. “Majlis pelancaran”. Berpuluh-puluh tahun perkataan itu digunakan. Buku dilancarkan. Produk dilancarkan. Kempen dilancarkan. Program dilancarkan. Portal dilancarkan. Kemudian muncul pula “majlis peluncuran”.
Saya tidak mengatakan perkataan “peluncuran” itu tidak wujud dalam bahasa Melayu, tetapi persoalannya ialah konteks.
Wartawan mesti memahami makna dan penggunaan sesuatu perkataan, bukan sekadar melihat perkataan itu ada dalam kamus lalu memasukkannya ke dalam berita sesuka hati.
Kalau sesuatu yang diperkenalkan secara rasmi itu disebut “pelancaran”, mengapa perlu ditukar kepada “peluncuran” tanpa alasan yang jelas? Apakah wartawan hari ini mempunyai penyakit takut menggunakan perkataan yang sudah biasa?
Adakah perkataan lama dianggap tidak cukup intelektual? Atau ada yang merasakan tugas wartawan ialah mencari perkataan yang jarang digunakan supaya tulisannya kelihatan hebat? Kalau begitu, itu bukan kewartawanan. Itu menunjuk-nunjuk kosa kata.
Wartawan bukan penulis yang mahu mempamerkan betapa banyak perkataan yang diketahuinya. Wartawan ialah orang yang mahu memastikan pembaca memahami sesuatu berita dengan tepat.
Kemudian muncul pula ayat seperti: “Gajah itu berjalan seorang diri masuk ke hutan.”
Saya tidak tahu hendak ketawa atau menangis apabila membaca ayat seperti ini. Seorang? Seorang itu manusia. Kalau gajah itu tidak ditemani gajah lain, tulislah: “Gajah itu berjalan bersendirian masuk ke hutan.” Selesai.
Tetapi, kesalahan mudah seperti ini boleh terlepas. Bagaimana? Kerana mungkin tiada siapa membaca. Atau semua orang membaca, tetapi tiada siapa peduli. Atau mungkin budaya menyemak sudah mati di meja berita.
Lebih lucu lagi apabila ada laporan menulis: “Sebanyak 10 individu berhimpun…” Sebanyak? Sepuluh individu itu manusia. Maka, “Seramai 10 individu berhimpun…” Itulah bentuk yang sesuai.
“Sebanyak” dan “seramai” bukan hiasan ayat. Setiap kata mempunyai fungsi. Tetapi, kalau wartawan sendiri tidak lagi mahu membezakan penggunaannya, jangan hairan kalau pembaca pula akhirnya menerima bentuk yang salah sebagai betul.
Hari ini 10 individu. Esok 50 individu. Lusa 1,000 individu. Akhirnya “sebanyak individu” menjadi perkara biasa.
Kemudian apabila ada orang menegur, akan ada pula yang menjawab: “Tak salah pun. Orang faham.”
Inilah ayat yang paling saya tidak boleh terima. Orang faham bukan bermakna bahasa itu betul. Kalau begitu, kita tidak memerlukan tatabahasa. Kita tulis sahaja sesuka hati asalkan pembaca boleh agak maksudnya.
Satu lagi yang mengganggu mata saya ialah penggunaan “biadap”. Saya tertanya-tanya, sejak bila “biadab” berubah menjadi “biadap”? Kalau seseorang wartawan tidak pasti, apakah terlalu berat untuk menyemaknya?
Satu perkataan sahaja. Buka kamus, semak. Tulis dengan betul, selesai. Tetapi apabila seseorang wartawan lebih yakin dengan apa yang dilihatnya di media sosial berbanding rujukan bahasa yang sahih, itu sudah menjadi masalah.
Media sosial bukan kamus. Apa yang viral bukan semestinya betul. Apa yang ditulis oleh ribuan orang bukan semestinya bahasa yang betul, dan apa yang digunakan oleh media lain juga tidak semestinya boleh kita salin bulat-bulat.
Wartawan perlu ada otak sendiri. Kalau media lain salah, jangan ikut salah. Kalau media lain menggunakan istilah yang janggal, semak dahulu. Kalau portal sebelah menggunakan ejaan yang salah, jangan anggap itu lesen untuk kita melakukan kesalahan yang sama.
Ke mana hilangnya fungsi editor? Di sinilah saya mahu bertanya kepada organisasi media.
Dahulu, editor bukan sekadar orang yang menentukan berita mana hendak disiarkan. Editor membaca, meneliti, memotong, membetulkan dan bertanya. Editor selalunya akan marah kalau wartawan cuai.
Tetapi, hari ini saya kadang-kadang tertanya-tanya sama ada sesetengah editor terlalu sibuk melihat jumlah klik sehingga tidak sempat melihat bahasa. Itukah standard kewartawanan yang kita mahu?
Kalau begitu, kita sebenarnya bukan sedang membina media. Kita sedang membina kilang kandungan. Apa sahaja masuk, apa sahaja keluar, asalkan cepat, asalkan banyak, asalkan ada klik, asalkan ada orang baca.
Sedangkan kewartawanan sepatutnya bukan kilang kandungan. Ia ialah institusi kepercayaan, dan kepercayaan dibina daripada ketepatan. Bukan sahaja ketepatan fakta, tetapi ketepatan bahasa.
Saya juga mahu menyentuh penyakit lain yang semakin menular. Sebahagian wartawan kini menulis seolah mereka sedang menulis untuk akaun media sosial sendiri. Bahasa berita bercampur dengan bahasa media sosial. Tajuk sengaja dibuat sensasi. Ayat dibina untuk mendapatkan klik. Perkataan dipilih bukan kerana tepat, tetapi kerana “catchy”.
Kadang-kadang tajuk berita lebih banyak mengundang emosi daripada memberikan maklumat. Ini bukan salah teknologi. Ini salah disiplin. Wartawan perlu tahu media sosial dan bilik berita mempunyai peranan yang berbeza.
Di media sosial, orang boleh menulis sesuka hati. Di meja berita, wartawan tidak boleh. Sebab apabila wartawan menulis, dia membawa nama organisasi media, membawa kredibiliti, membawa tanggungjawab, dan membawa bahasa kepada masyarakat.
Jadi, jangan rosakkan bahasa hanya kerana mahu mengejar trend. Jangan kejar klik sampai hilang maruah tulisan. Jangan kejar viral sampai lupa pembaca juga mempunyai hak untuk menerima berita yang ditulis dengan baik.
Saya sedar, selepas lebih 40 tahun berada dalam dunia media, mungkin ada yang berkata: “Zaman sudah berubah.” Ya, saya tahu. Wartawan lama tidak faham media digital, mungkin. Saya akui.
Bahasa juga berkembang, betul. Saya setuju. Tetapi, satu perkara tidak berubah, iaitu betul tetap betul, salah tetap salah. Bahasa berkembang tidak bermakna tatabahasa boleh dicampakkan ke tong sampah.
Istilah baharu boleh muncul, tetapi kemunculannya tidak bermakna wartawan boleh mengubah perkataan sesuka hati. Teknologi boleh berubah, tetapi tanggungjawab wartawan tidak berubah.
Dahulu kami mengejar berita dengan mesin taip, hari ini wartawan menaip dengan komputer dan telefon. Dahulu kami menunggu akhbar dicetak, hari ini berita boleh muncul dalam masa beberapa saat. Tetapi, daripada dahulu sampai sekarang, satu perkara tetap sama: Wartawan mesti tepat, dan bahasa ialah sebahagian daripada ketepatan itu.
Saya tidak mahu semua ini disalah tafsir sebagai serangan kepada wartawan muda. Ramai daripada mereka yang saya lihat hari ini sebenarnya sangat bagus. Mereka berani, rajin, pantas, sanggup bekerja dalam keadaan tekanan tinggi.
Ada yang jauh lebih kreatif daripada generasi saya, tetapi mereka memerlukan bimbingan, perlu ditegur, perlu mempunyai editor yang mengajar, bukan sekadar editor yang mengejar jumlah berita.
Kalau wartawan muda menulis salah, betulkan. Kalau mereka tidak tahu, ajar. Kalau mereka mengulang kesalahan, tegur. Jangan biarkan mereka terus melakukan kesalahan hanya kerana semua orang terlalu sibuk. Sebab suatu hari nanti mereka pula akan menjadi editor dan akan mengajar generasi selepasnya perkara yang sama.
Akhirnya kesalahan diwariskan, dari wartawan kepada wartawan, dari meja berita kepada meja berita, dari satu portal kepada portal yang lain sehingga bahasa yang salah akhirnya dianggap bahasa yang betul. Itulah yang paling menakutkan.
Kita sedang menyaksikan kemungkinan lahirnya satu generasi wartawan yang bukan sahaja tidak tahu sesuatu itu salah, tetapi tidak lagi berasa perlu menyemaknya. Itu jauh lebih berbahaya daripada kesalahan ejaan.
Saya sudah terlalu lama berada dalam dunia ini untuk marah kerana perubahan. Saya tidak takut kepada perubahan. Saya cuma takut kepada perubahan yang tidak berilmu.
Saya tidak takut kepada istilah baharu. Saya takut apabila wartawan menggunakan istilah yang tidak difahaminya. Saya tidak takut kepada generasi baharu. Saya takut apabila generasi baharu tidak mahu belajar daripada pengalaman generasi terdahulu.
Saya tidak takut kepada teknologi. Saya takut apabila teknologi digunakan untuk mempercepatkan kesalahan, dan saya paling takut apabila kesalahan tidak lagi dianggap memalukan.
Sebab kewartawanan tanpa rasa malu terhadap kesilapan akhirnya akan melahirkan kewartawanan tanpa disiplin. Kewartawanan tanpa disiplin akan kehilangan kepercayaan masyarakat.
Kepada wartawan muda, saya tidak meminta kamu menulis seperti saya, tidak meminta kamu kembali menggunakan mesin taip, tidak meminta kamu melupakan teknologi. Saya cuma meminta kamu belajar menghormati bahasa.
Seperti yang saya kata tadi, kalau tidak tahu, semak. Kalau ragu-ragu, bertanya. Kalau salah, akui. Kalau ditegur, belajar. Jangan anggap kamus itu musuh, editor itu penghalang.
Jangan anggap wartawan veteran itu sudah tidak relevan dan pembaca itu bodoh. Pembaca mungkin tidak menghantar e-mel kepada anda untuk menegur setiap kesalahan. Tetapi, pembaca melihat, membaca, menilai dan akhirnya, pembaca menentukan sama ada media itu boleh dipercayai atau tidak.
Saya sudah lebih 40 tahun berada dalam dunia kewartawanan. Saya telah melihat bagaimana profesion ini berubah daripada akhbar cetak kepada portal digital. Saya telah melihat bagaimana cara berita dikumpulkan berubah. Saya telah melihat bagaimana teknologi mempercepatkan kerja wartawan. Tetapi, saya tidak pernah percaya perubahan teknologi memberikan kita lesen untuk mengabaikan bahasa.
Wartawan boleh menulis sepantas mana sekalipun. Portal boleh menerbitkan berita setiap minit. Kandungan boleh dikongsi ke seluruh dunia dalam beberapa saat. Tetapi, sebelum semua itu berlaku, wartawan masih perlu berhenti sekejap dan bertanya kepada dirinya sendiri:
“Adakah apa yang aku tulis ini betul?” Bukan sekadar betul faktanya, tetapi betul bahasanya, istilahnya, ejaannya dan maksudnya.
Kalau soalan paling asas itu pun kita sudah tidak mahu bertanya, maka saya bimbang suatu hari nanti kita bukan lagi mempunyai wartawan. Kita hanya mempunyai operator papan kekunci yang kebetulan bekerja di meja berita.
Bagi saya yang sudah lebih 40 tahun menghabiskan hidup dalam dunia media, inilah antara perkara paling menyedihkan yang boleh berlaku kepada profesion kewartawanan. – ND
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
