KULAI – Seorang lelaki kurang upaya (OKU) lembam antara dua mekanik yang didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya di Lebuhraya Linkedua, Sabtu lepas.
Muhamad Aiman Izuddin Sukri, 25, dan Mohamad Riduan Abd Ghani, 26, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R. Salini.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu ketika menunggang motosikal jenis Yamaha di Lebuhraya Linkedua kira-kira 7 pagi pada 22 Ogos lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000, jika sabit kesalahan.
Pesalah juga boleh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun dari tarikh sabitan.
Timbalan Pendakwa Raya Lee Wee Hong menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam Abd Rahim Ali yang mewakili Muhamad Aiman memohon jaminan rendah memandangkan anak guamnya merupakan OKU lembam, bekerja sebagai mekanik di Sentul dan tinggal di bengkel.
Peguam R.S. Amarpreet Singh yang mewakili Mohamad Riduan pula memaklumkan anak guamnya berpendapatan RM1,500 sebulan, telah berkahwin manakala isterinya tidak bekerja di samping mempunyai bapa yang menghidap diabetes.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Okt depan untuk sebutan kes serta serahan dokumen.
Sebelum ini, polis dilaporkan menahan 11 lelaki termasuk pempengaruh permotoran bagi membantu siasatan kes tutup jalan demi melakukan lumba haram di lebuh raya tersebut yang turut tular di media sosial.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata sekumpulan individu dipercayai menutup jalan dari kilometer 33 susur Tol Senai Utara hingga kilometer 31, susur Johor Premium Outlet (JPO) di Linkedua untuk berlumba dalam kejadian itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai ACP Tan Seng Lee berkata sembilan lagi individu yang ditahan reman sebelum ini dibebaskan dengan jaminan polis hari ini dan semalam. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
