KLANG – Lima lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan merusuh menggunakan senjata di sebuah premis di Pandamaran pada minggu lepas, manakala seorang lagi didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan sama.
Ho Zhen Yang, 26, didenda RM2,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda itu, manakala Ng Shen Hua, 22; Low Yong Xian, 24; Ng Shen Wei, 25; Tio Ec Tao, 23; dan Lim Aik Wei, 18, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mamat.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa merusuh dan memiliki rotan serta kayu besbol sebagai senjata ketika rusuhan itu, dengan niat bersama untuk mencederakan seorang lelaki berusia 22 tahun di sebuah premis di Jalan Chan Ah Choo, Pandamaran, Pelabuhan Klang, di sini, pada 22 Ogos kira-kira 11.30 malam
Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Uzzair Rosman memohon hukuman setimpal terhadap Ho, manakala peguam Nur Husnina Ahmad yang mewakili Ho, memohon denda RM1,000 dengan alasan anak guamnya telah berkahwin, mempunyai tiga anak dan seorang pekerja logistik di sebuah gudang dengan pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan.
Nur Husnina berkata Ho juga mengalami kecederaan dalam kejadian itu, termasuk lebam pada bahagian mata dan bengkak di kepala, sebelum membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan di hospital.
Bagi lima tertuduh lain, Mohammad Uzzair menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan supaya mereka melaporkan diri di balai polis sebulan sekali.
Bagaimanapun, peguam T. Lavin yang mewakili lima tertuduh itu memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya yang masih bujang hanya mempunyai pendapatan sampingan dan sebahagian daripada mereka perlu menanggung ibu, bapa atau nenek.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Mahkamah kemudian membenarkan kelima-lima tertuduh itu diikat jamin RM1,500 setiap seorang dengan seorang penjamin serta menetapkan 4 Nov depan untuk sebutan semula kes. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
