KUALA LUMPUR – Dua pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merupakan antara rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi susulan kejadian banjir kilat di Rasuwa, Nepal semalam.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata seorang daripada mereka bertugas sebagai Timbalan Pengarah Bahagian di Ibu Pejabat JBPM manakala seorang lagi ialah pegawai di Akademi JBPM Wilayah Tengah.
Beliau berkata kedua-dua pegawai lelaki berkenaan adalah sebahagian daripada kumpulan 10 rakyat Malaysia dalam perjalanan menuju Everest Base Camp (EBC) yang mula bertolak ke Nepal pada malam Isnin lepas.
“Seorang pegawai kanan bomba dan seorang pegawai bomba. Mereka dalam perjalanan ke EBC. Mereka bukan mendaki, tetapi tracking dan menggunakan jip, mengikut laluan Tibet,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang berusaha mengesan 54 rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi susulan banjir kilat yang melanda daerah Rasuwa.
Anwar turut mengarahkan semua jabatan berkaitan termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Luar supaya segera mengenal pasti serta menghubungi rakyat Malaysia yang terjejas, termasuk melalui kementerian dan kedutaan Malaysia di New Delhi, India dan Kathmandu, Nepal.
Menurut laporan media, banjir kilat melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet itu berpunca daripada hujan lebat serta runtuhan glasier di sepanjang laluan Sungai Bhote Koshi, sekali gus mengganggu rangkaian komunikasi dan memutuskan akses jalan raya utama menghubungkan kawasan berkenaan dengan Kathmandu. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
