Ferran Torres: Di Sebalik Gol Keramat Sang Tiburón, dan penghijrahan ke PSG

Oleh: Dr. Norhayati Alias

PADA 19 Julai lalu, nama Ferran Torres terukir dalam sejarah bola sepak Sepanyol apabila beliau menjaringkan gol emas pada minit ke-106 di perlawanan akhir Piala Dunia 2026 menewaskan juara bertahan, Argentina 1-0.

Bermula sebagai pemain gantian, Torres muncul pada saat paling genting dan menyudahkan hantaran Nico Williams, membolehkannya membantu Sepanyol membawa pulang hadiah kemenangan Piala Dunia FIFA 2026 ke negara mereka.

Kemenangan itu memberikan Sepanyol gelaran dunia kedua dan menjadikan Torres bukan sekadar seorang penyerang, tetapi wira yang mencipta detik paling penting dalam sejarah bola sepak negaranya pada tahun ini.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Gol tersebut menjadi kemuncak kepada sebuah perjalanan yang tidak sentiasa mudah. Sebelum dikenali sebagai penjaring gol kemenangan Piala Dunia, Torres pernah melalui fasa persaingan dalam kesebelasan utama, berdepan persaingan sengit dan menunggu peluang untuk membuktikan dirinya di arena bolasepak negara kelahirannya Sepanyol.

Justeru, kehebatan beliau melakar kejayaan di pentas dunia menjadi momen yang sangat bermakna kerana ia hadir seolah-olah sebagai ganjaran untuknya selepas melalui pelbagai cabaran sebagai pemain.

Dikenali dengan jolokan El Tiburón, atau “The Shark”, watak Torres digambarkan sebagai seorang penyerang yang mempunyai naluri memburu gol, sentiasa peka terhadap ruang dan sentiasa bersedia menembusi gawang lawan pada bila-bila masa. Torres benar-benar menyerlahkan naluri “jerung”nya lalu mencipta sejarah baharu dunia bola sepak negaranya pada hari itu.

Ketika berlangsung Piala Dunia FIFA 2026, penulis berada di negara juara itu dari 3 Julai hingga 7 Ogos; dan tentunya berkesempatan menyaksikan serta merasai suasana sokongan dan kemeriahan sambutan hebat kejayaan oleh para peminat bola sepak negara itu.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Berbalik kepada cerita Torres, beliau menyertai Barcelona pada Januari 2022 berhijrah dari Manchester City. Ketika tiba di kelab gergasi Catalan itu, beliau hadir sebagai antara penyerang muda Sepanyol yang mempunyai potensi besar.

Namun, bermain untuk kelas besar seperti FC Barcelona, bermakna beliau perlu berhadapan dengan tuntutan yang tinggi. Setiap persembahan diperhatikan, malah setiap kesilapan mudah menjadi bahan perbincangan.

Torres sendiri melalui keadaan tersebut. Beliau perlu menyesuaikan diri dengan beberapa posisi dan bersaing dengan barisan serangan yang dipenuhi pemain-pemain berbakat besar seperti dirinya.

Dalam keadaan seperti itu, cabaran seorang pemain bukan sekadar berkaitan prestasi di atas padang. Ia turut melibatkan keupayaan untuk terus percaya kepada diri sendiri dalam meraih sebuah pengiktirafan yang sentiasa didambakan.

Musim 2025–26 menunjukkan perkembangan positif dalam perjalanan tersebut. Torres menikmati antara musim terbaiknya bersama FC Barcelona, dengan 21 gol dan tiga bantuan gol melalui 49 penampilan.

Angka itu menjadi gambaran jelas tentang kebangkitan Torres, daripada pemain yang menanti peluang kepada pemain yang terus memanfaatkan kesempatan sebagai detik untuk membuktikan nilainya.

Namun begitu, masa depan seseorang pemain di sebuah kelab bola sepak elit seperti FC Barcelona tidak hanya ditentukan oleh prestasi. Faktor kontrak, kedudukan kewangan kelab, perancangan pasukan dan persaingan dalam skuad turut memainkan peranan.

Kontrak Torres bersama Barcelona hanya berbaki sehingga Jun 2027, selain itu, kekangan kewangan dan peraturan “financial fair play” turut mempengaruhi masa depannya bersama kelab tersebut.

Namun, di sebalik pahit manis perjalanan profesional yang dilalui itu, kelab FC Barcelona turut menjadi tempat Torres membina hubungan persahabatan yang penting dalam hidup dan kariernya sebagai bintang bola sepak Barcelona. Antaranya, hubungan dengan rakan sepasukan, Pedri.

Keakraban mereka menjadi sebahagian daripada tajuk perbualan para penggemar sukan bola sepak Sepanyol, sekali gus menjadikan situasi perpindahannya ke Paris Saint-Germain (PSG) menjadi lebih sentimental nilainya.

Meninggalkan sesebuah kelab tidak semestinya bermaksud meninggalkan segala yang telah dibina di situ. Barcelona bagi Torres bukan sekadar tempat untuk berusaha berjuang mencari pengiktirafan. Ia juga menyimpan pengalaman latihan, kemenangan, kekalahan, persaingan dan persahabatan.

Oleh itu, perpindahan ke PSG boleh dilihat bukan semata-mata sebagai keputusan profesional, tetapi sebagai satu perubahan fasa dalam kehidupan seorang bintang bola sepak.

Piala Dunia 2026 memberikan Torres peluang untuk menulis semula naratif tentang dirinya. Beliau sekali lagi berada dalam situasi yang memerlukan kesabaran selepas kehilangan tempat utama pada awal kejohanan.

Namun, kali ini menunggu tidak bererti gagal. Ia menjadi persediaan untuk satu detik yang akhirnya mengubah segalanya.

Dalam final menentang Argentina, Sepanyol menguasai sebahagian besar permainan, tetapi gagal memecahkan kebuntuan, hinggalah di minit-minit terakhir. Hantaran berbisa rakan sepasukanya, Nico Williams telah disambar oleh sang Tiburón, Torres dan menyudahkannya dengan tenang dan penuh bergaya. Satu gol keramat yang memberikan Sepanyol kemenangan 1–0 dan kejuaraan dunia buat kali kedua.

Pemain itu kini menjadi figura dalam kalangan peminat hasil memberikan hadiah kemenangan kepada negaranya dalam perlawanan terbesar bola sepak dunia.

Kejayaan tersebut turut mengubah cara dunia melihat Torres. Beliau tidak lagi hanya dikenali sebagai penyerang Barcelona yang masih mencari konsistensi. Malah, merupakan seorang juara dunia dan penjaring gol kemenangan dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2026.

Ironinya, ketika Torres sedang menikmati kemuncak pengiktirafan di pentas dunia, persoalan tentang masa depannya di Barcelona pula semakin kuat kedengaran. Di tengah-tengah kemelut itu, PSG muncul dengan peluang yang nyata untuk Torres, iaitu peluang untuk beliau membuka bab baharu dalam perjalanan kerjayanya. 

Pada 15 Ogos lepas, media antarabangsa dan media di Malaysia melaporkan PSG mengesahkan perpindahan Torres ke pasukan itu dari Barcelona dengan kontrak sehingga 2031 dengan nilai perpindahan sekitar €50 juta.

Perpindahan itu menjadi ‘menarik’ dan ‘luar biasa’ kerana Torres memilih untuk bergerak selepas mencapai kemuncak pencapaiannya bersama Barcelona. Beliau boleh memilih untuk terus berada di kelab yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan kerjayanya selama beberapa tahun.

Namun, memilih untuk menerima cabaran baharu. Pilihan itu memperlihatkan perubahan penting dalam perjalanan kerjayanya.

Meninggalkan Barcelona juga tidak bermaksud melupakan segala yang telah berlaku di sana. Pengalaman yang dilalui menjadi sebahagian daripada dirinya. Kritikan menjadi pengalaman, persaingan membentuk kematangan, manakala persahabatan menjadi kenangan yang tetap mempunyai nilai.

Pedri, khususnya, kekal sebagai sebahagian daripada kisah tersebut, bukan semata-mata sebagai seseorang yang ditinggalkan, tetapi sebagai sahabat yang pernah berkongsi satu fasa penting dalam perjalanan Torres.

Kini, pada usia 26 tahun, Torres telah mencapai sesuatu yang menjadi impian hampir setiap pemain bola sepak; menjaringkan gol kemenangan di pentas akhir Piala Dunia dan menjulang trofi paling berprestij.

Namun, kejayaan itu tidak semestinya menjadi penamat kepada kisahnya. Sebaliknya, ia mungkin menjadi permulaan kepada bab yang lebih besar.

Di Barcelona, Torres belajar untuk bertahan. Bersama Sepanyol, beliau belajar bahawa kesabaran boleh membawa kepada detik yang tidak dijangka. Bersama rakan-rakan seperti Pedri, beliau merasai nilai persahabatan dalam perjalanan seorang atlet.

Dan kini, di PSG, beliau berpeluang membuktikan bahawa seorang juara dunia masih mempunyai ruang untuk berkembang.

Kisah Ferran Torres akhirnya bukan sekadar tentang jaringan gol kemenangan atau tentang perpindahan seorang pemain dari Barcelona ke PSG. Ia adalah kisah tentang seorang pemain yang pernah lemah, menunggu peluang, menghadapi keraguan dan akhirnya muncul sebagai wira negaranya di pentas terbesar dunia.

Barcelona pernah menjadi impiannya. Sepanyol menjadi pentas yang mengabadikan namanya. Persahabatan menjadi sebahagian daripada kenangan perjalanan tersebut. Dan PSG kini menjadi tempat untuk beliau membuka lembaran baharu. Kali ini, Torres bukan lagi sekadar menanti, beliau memilih jalan yang mahu ditempuhnya sendiri.

Dr. Norhayati Alias berkhidmat di Unit Bahasa Asing dan Terjemahan, Pusat Kajian Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor. Penulis berada di Sepanyol dari 3 Julai hingga 7 Ogos kerana mengikuti Program Pemantapan Profesional Bahasa Sepanyol yang ditaja oleh Fundacion Deques de Soria dan Carloa V Education, Sepanyol.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *