Indra Yakin Harimau Malaya Mampu Cipta Kejutan Bertemu Thailand

KUALA LUMPUR – Legenda bola sepak negara Indra Putra Mahayuddin percaya Harimau Malaya memiliki kemampuan untuk mencipta kejutan apabila berdepan dengan Thailand pada aksi ketiga Kumpulan B Piala ASEAN 2026 di Stadium Rajamangala, Bangkok, esok.

Bekas penyerang kebangsaan itu berkata dua kemenangan menentang Myanmar dan Laos telah membuktikan kemampuan skuad kendalian ketua jurulatih interim Tan Cheng Hoe, sekali gus menunjukkan keyakinan bahawa mereka mampu memberikan tentangan sengit kepada tuan rumah.

“Pada saya, mereka telah membuktikan kemampuan menerusi dua kemenangan sebelum ini dan saya tidak melihat pertemuan dengan Thailand sebagai satu cabaran yang mustahil untuk diharungi.

“Walaupun kita tidak mempunyai kesebelasan utama yang benar-benar lengkap, pemain yang ada telah menjalankan tanggungjawab dengan baik dan saya percaya mereka mampu melakukan sesuatu di luar jangkaan dalam kejohanan ini,” katanya ketika ditemui Bernama, hari ini.

Malah, beliau juga tidak menolak Harimau Malaya mungkin berpeluang membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata dari Bangkok sekiranya semua pemain mempamerkan komitmen penuh sepanjang 90 minit perlawanan.

“Kalau semua pemain memberikan 100 peratus, saya percaya Malaysia mampu mendapat keputusan yang positif.

“Inilah peluang kepada pemain yang dipanggil untuk membuktikan kemampuan mereka, terutama ketika beberapa pemain tidak dapat bersama-sama pasukan kerana kekangan kalendar FIFA,” katanya.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas berkenaan ketiadaan pemain tengah Endrick Dos Santos, Indra Putra mengakui kehilangan tonggak itu sedikit sebanyak memberikan kesan kepada pasukan.

Bagaimanapun, beliau tetap yakin Cheng Hoe mempunyai pilihan terbaik untuk mengisi kekosongan tersebut.

“Kita tahu kualiti yang dimiliki Endrick dan peranannya cukup penting dalam pasukan. Sudah tentu ketiadaannya sedikit mengganggu perancangan, terutama dalam menentukan kesebelasan utama.

“Bagaimanapun, saya percaya jurulatih mempunyai pemain lain yang mampu memikul tanggungjawab itu. Inilah peluang terbaik untuk pemain yang diberi kepercayaan membuktikan bahawa mereka layak mewakili skuad kebangsaan,” katanya. – BERNAMA

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *