KUALA LUMPUR: PETRONAS hari ini menjelaskan walaupun syarikat berkenaan memegang hak penamaan Litar Antarabangsa Sepang, litar berkenaan sebaliknya dimiliki oleh Sepang International Circuit Sdn Bhd iaitu syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).
Dalam kenyataannya, syarikat minyak dan gas nasional itu memaklumkan litar berkenaan juga dikendalikan oleh sebuah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Oleh kerana PETRONAS bukanlah penganjur acara itu, syarikat ini tidak mengurus, mengawal atau mempunyai akses kepada peruntukan, penjualan mahupun pengedaran tiket berkaitan.
“Penjualan tiket itu diuruskan sepenuhnya oleh penganjur acara dan (menerusi) saluran yang dibenarkan,” menurut PETRONAS.
Penjelasan itu dibuat berikutan minat orang ramai terhadap penganjuran acara Formula Satu (F1) Grand Prix Bahrain Gulf Air di Sepang yang dijadual berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober 2026.
Untuk rekod, pada Jumaat lalu, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, berkata KBS sedang giat mengadakan perbincangan serta meneliti kemungkinan F1 kembali ke litar Malaysia.
Ini disusuli pada Ahad, pihak F1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah Grand Prix Bahrain, tertakluk kepada pemuktamadan semua perjanjian dan kelulusan rasmi, termasuk daripada pihak Majlis Sukan Permotoran Dunia.
Perlumbaan di Malaysia dijadual berlangsung dalam tempoh masa di antara Grand Prix Azerbaijan dan Grand Prix Singapura dalam kalendar F1 berkenaan.
Kali terakhir Malaysia menganjurkan perlumbaan Grand Prix F1 adalah pada 2017, namun Litar Antarabangsa Sepang kekal dalam kalendar MotoGP berkenaan serta kekal memegang lesen Gred 1 FIA yang diperlukan untuk menjadi tuan rumah perlumbaan F1.
PETRONAS merupakan penaja pasukan Mercedes F1 sejak 2010 dan pada Oktober 2023 telah memperoleh hak penamaan bagi Litar Antarabangsa Sepang bagi tempoh selama tiga tahun.
Musim F1 2026 pada awalnya dijadualkan membabitkan 24 perlumbaan dan tambahan perlumbaan gantian dijangka membantu dari segi komitmen penyiaran selain menjadikan jumlah keseluruhan kembali kepada 22 atau 23 perlumbaan. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001