MCW Iktiraf Wartawan Antirasuah, Media Disifatkan Benteng Ketelusan Negara

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mengiktiraf peranan media sebagai rakan strategik dalam usaha memperkukuh integriti, meningkatkan ketelusan serta membentuk masyarakat yang berani menolak amalan rasuah.

Pengiktirafan itu dizahirkan menerusi penyampaian Anugerah Tokoh Wartawan Antirasuah MCW 2026 kepada enam pengamal media sempena Mesyuarat Agung Tritahunan Kali Keempat (MATT4) 2026 sebagai menghargai komitmen mereka dalam melaporkan isu rasuah, integriti dan tadbir urus negara.

Penerima anugerah berkenaan ialah Mohd Anwar Patho Rohman (Berita Harian), Mohd Jamilul Anbia Md. Denin (Harian Metro), Mohd Fahmi Ismail (Kosmo), Aqilah Mior Kamarulbaid (Utusan Malaysia), Mohd Khuzairi Ismail (Malaysia Gazette) dan Rudy Sham Abdul Raof (Nasional Daily).

Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, kewartawanan yang beretika dan berani adalah antara benteng utama dalam memastikan salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan terus mendapat perhatian masyarakat.

Menurut beliau, wartawan membuat liputan berkaitan rasuah sering berdepan pelbagai cabaran termasuk kesukaran mendapatkan maklumat, tekanan daripada pelbagai pihak serta keperluan memastikan setiap laporan disiarkan berasaskan fakta tepat dan boleh dipertanggungjawabkan.

“Media yang bebas, profesional dan berintegriti adalah benteng ketelusan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, MCW mencadangkan supaya lebih banyak program latihan dan pembangunan profesional diperkenalkan bagi memperkukuh kemahiran kewartawanan penyiasatan, khususnya dalam aspek pelaporan rasuah, analisis dokumen, perlindungan sumber maklumat serta pemahaman terhadap peruntukan undang-undang berkaitan.

MCW turut berpandangan, kerjasama erat antara media, pertubuhan masyarakat sivil dan agensi penguat kuasa mampu memperkukuh budaya integriti serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap usaha membanteras rasuah di negara ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung MCW, Rosdi Amir berkata, media bukan sahaja berperanan menyampaikan maklumat kepada masyarakat, malah menjadi mekanisme semak dan imbang yang penting dalam memastikan tadbir urus negara sentiasa telus, berintegriti dan bertanggungjawab.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *