Operasi ‘Overhaul’ Kebakaran Pasar Borong Selangor Masih Diteruskan, Bangunan Musnah 90 Peratus

KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih meneruskan operasi pemadaman serta kerja-kerja ‘overhaul’ di lokasi kebakaran yang memusnahkan deretan lot kedai di Pasar Borong Selangor PKPS Agro, Pusat Bandar Putra Permai, awal pagi tadi.

Operasi yang memasuki fasa akhir itu dijalankan bagi memastikan tiada lagi sisa bara atau punca api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang selepas kebakaran berjaya dikawal pada awal pagi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.04 malam sebelum pasukan pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Kembangan tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian untuk memulakan operasi pemadaman.

Menurut beliau, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 1.20 pagi, sekali gus menghalang api daripada terus merebak ke kawasan berhampiran.

“Setakat jam 4.35 pagi, kerja-kerja pemadaman telah mencapai kira-kira 70 peratus, manakala anggota bomba masih meneruskan operasi ‘overhaul’ bagi memastikan tiada lagi titik panas yang berpotensi mencetuskan kebakaran semula,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kebakaran itu melibatkan sebuah premis berkeluasan kira-kira 400 meter persegi, dengan anggaran 90 peratus struktur bangunan musnah dalam kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan tiada mangsa dilaporkan cedera atau terkorban dalam insiden tersebut.

Operasi pemadaman melibatkan kekuatan seramai 68 anggota JBPM bersama 16 jentera pelbagai jenis yang digerakkan dari beberapa balai bomba di Selangor dan Kuala Lumpur.

Antara balai yang terlibat ialah Balai Bomba dan Penyelamat Seri Kembangan, Bukit Jalil, Presint 7, Bandar Tun Hussein Onn, Petaling Jaya, Bangi, KLIA, Keramat, Hang Tuah, Hartamas, Cyberjaya, Bukit Jelutong, Subang Jaya dan Damansara.

Selain anggota JBPM, operasi turut mendapat bantuan daripada 67 anggota Pasukan Bomba Sukarela daripada 11 pasukan bagi mempercepatkan usaha memadamkan kebakaran serta mengawal kawasan kejadian.

Turut membantu dalam operasi ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengawal lalu lintas dan keselamatan di lokasi, selain Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) serta pasukan keselamatan Pasar Borong Selangor yang membantu melancarkan operasi menyelamat dan pemadaman.

Kerja-kerja ‘overhaul’ dijangka diteruskan sehingga anggota bomba benar-benar berpuas hati bahawa tiada lagi sisa bara atau risiko kebakaran semula di kawasan premis yang terjejas.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak JBPM.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *