Oleh NurFarhana Zulkeply
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan usaha mereformasi negara memerlukan masa sebelum hasilnya dapat dinikmati oleh rakyat kerana perubahan menyeluruh tidak boleh dicapai dalam tempoh singkat.
Menurut beliau, kerajaan ketika ini bukan sekadar melakukan pembaikan sementara, sebaliknya sedang membina asas yang lebih kukuh bagi memastikan sistem pentadbiran negara menjadi lebih cekap, telus dan mampan.
Anwar mengibaratkan proses reformasi seperti menanam sebatang pokok yang memerlukan penjagaan, pembajaan dan masa sebelum mampu mengeluarkan hasil.
Katanya, walaupun kesan perubahan mungkin belum dapat dirasai sepenuhnya ketika ini, matlamat utama reformasi adalah untuk mewujudkan negara yang lebih stabil serta memberi manfaat kepada generasi akan datang.
Beliau berkata kerajaan turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi negara, mengukuhkan kedudukan kewangan serta memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Menurutnya, sepanjang proses reformasi, kerajaan mungkin perlu membuat beberapa keputusan yang sukar dan tidak popular, namun ia dilaksanakan dengan matlamat membawa perubahan yang lebih baik untuk jangka panjang.
Anwar menegaskan reformasi bukan sekadar slogan politik, sebaliknya merupakan usaha menyusun semula sistem pentadbiran agar lebih berintegriti, berkesan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat supaya terus bersabar dan memberi ruang kepada kerajaan melaksanakan agenda reformasi, sambil menyatakan manfaatnya akan lebih dirasai apabila asas pembangunan negara semakin kukuh.
NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L