SEREMBAN – Aktivis politik Albert Tei mengumumkan menarik diri daripada hasrat bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Menurut Albert, keputusan itu dibuat susulan perbincangan bersama kepimpinan MCA, selain menyatakan sokongan penuh kepada calon Barisan Nasional (BN), John Siow bagi menghadapi pertandingan di kerusi berkenaan.
Beliau berkata, John Siow disifatkan sebagai calon berjiwa rakyat dan mempunyai kredibiliti untuk memikul amanah sebagai wakil rakyat.
Albert turut memaklumkan, beliau akan hadir memberikan sokongan kepada John Siow pada hari penamaan calon yang dijadualkan berlangsung pada 18 Julai ini.
Selain itu, beliau berikrar untuk membantu kempen BN dalam usaha menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) di DUN Chennah serta memperkukuhkan kedudukan parti itu di Negeri Sembilan.
Dalam kenyataannya, Albert turut berjanji kepada Presiden MCA untuk menyertai siri kempen bagi semua calon BN sepanjang tempoh kempen pilihan raya bermula 18 hingga 31 Julai ini.
Pada masa sama, beliau berkata, kempen itu akan memberi tumpuan kepada kritikan terhadap prestasi pentadbiran PH, khususnya DAP yang menurutnya gagal memenuhi harapan rakyat.
Beliau turut menyeru rakyat Malaysia membuat pilihan yang disifatkannya mampu menjamin kebahagiaan, kesejahteraan dan ketenteraman negara, sambil menggesa orang ramai supaya tidak menyokong PH.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L