Polis siasat hantaran Facebook kaitkan Tunku Mahkota Ismail dalam tuduhan rasuah

Sindiket curi lori bonded tumpas, 7 termasuk dalang ditahan – JSJ

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan sindiket curi lori bondedyang aktif beroperasi di Selangor, Johor, Melaka dan Kuala Lumpur susulan penahanan tujuh individu termasuk dalang, minggu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, semua lelaki warga tempatan berusia 32 hingga 48 tahun itu ditahan di beberapa lokasi berasingan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur menerusi Op Lejang Lori Bonded pada 22 hingga 28 Jun.

“Semua tangkapan telah direman bagi membantu siasatan. Siasatan turut mendapati seorang daripada suspek adalah dalang utama sindiket, yang berperanan sebagai orang tengah untuk mencari pencuri, pengendali stor haram, mekanik, penghantar dan pembeli komponen lori curi,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Kumar berkata, sindiket berkenaan disyaki terlibat dalam 18 kes kecurian lori bonded yang dilaporkan di Johor, Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur dengan anggaran jumlah kerugian RM1,230,000.

Katanya, dalam operasi berkenaan, polis turut merampas lima lori, sebuah kereta, sebuah motosikal, selain pelbagai alatan dipercayai digunakan untuk mencuri lori.

“Turut dirampas ialah pelbagai dokumen syarikat dan resit pembayaran yang dipercayai berkaitan dengan kegiatan sindiket, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM400,000,” katanya.

Kumar berkata, modus operandi sindiket ialah dengan dalang utama bertindak menerima tempahan daripada pemilik bengkel, sebelum mengarahkan anggotanya mencuri model lori dikehendaki sebelum dileraikan di stor dan bengkel.

“Komponen dan kepala lori dijual secara berasingan dengan harga di bawah nilai pasaran dan diiklankan di media sosial. Dalang juga memberi upah antara RM15,000 ke RM18,000 bagi setiap lori yang berjaya dicuri,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Kumar berkata, setakat ini, 13 akaun bank bernilai RM280,836.10 telah dibekukan mengikut Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pemilik lori dan pengusaha syarikat logistik supaya memastikan kenderaan mereka dilengkapi sistem keselamatan dan pemantauan GPS, selain meletakkannya di kawasan selamat serta mempunyai kawalan keselamatan.

“Pemilik bengkel diingatkan supaya tidak membeli mana-mana komponen kenderaan tanpa dokumen pemilikan yang sah atau yang ditawarkan di bawah harga pasaran kerana boleh mendedahkan mereka kepada tindakan undang-undang,” katanya. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *